Pas tidak lupa RUU355

Oleh BADLISHAH MAT

PAS menegaskan mereka tidak pernah lupa terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 setelah bergelar kerajaan.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas kini sedang mempergiat usaha menyediakan draf RUU berkenaan bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

“Pelbagai sudut telah dilihat khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU355 tersebut lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

“Kita juga di dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan mahkamah syariah setanding dengan mahkamah sivil,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar, hari ini

Ahmad Fadhli berkata, aspek pemerkasaan mahkamah syariah meliputi pelbagai perkara penting seperti meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie, pendakwa syarie dan pegawai penguat kuasa agama.

Selain itu, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana mahkamah syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah antara diberi perhatian.

“Malah, langkah yang telah diambil untuk memperkasa dan menaik taraf mahkamah syariah supaya sesuai dengan perkembangan semasa adalah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal RUU Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022.

“Pas bukan sekadar beretorik tentang Islam. Apabila diamanahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan dan urusan negara.

“Inilah komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh Pas. Alhamdulillah kesannya, rakyat semakin yakin dengan kemampuan Pas di dalam tadbir urus serta kepimpinan berkualiti yang ditonjolkan oleh kepimpinan dan ahlinya,” katanya.

Tambah beliau, kewibawaan dan kemampuan urus tadbir yang cemerlang serta integriti tinggi ditunjukkan di negeri-negeri yang ditadbir serta di kementerian-kementerian yang diamanahkan memberikan suatu ‘vibe’ yang sangat positif kepada rakyat Malaysia.

Katanya, Pas telah membuktikan walau hanya separuh penggal di dalam kerajaan, pencapaian urus tadbir yang ditunjukkan adalah ‘commendable’ dan membanggakan yang menandakan parti itu mampu memimpin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *