BEKAS Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan.
Lokman, 49, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Bagi pertuduhan pertama membabitkan Perdana Menteri, beliau dituduh melakukan perbuatan itu pada 11.16 malam, 20 Ogos lepas.
Hantaran tersebut kemudiannya dibaca pada 8.15 pagi, 24 Ogos lepas di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pada 10.28 malam, 22 Ogos lepas dan pautan itu kemudian dibaca pada 11.30 pagi, 23 Ogos lepas di sebuah restoran di Jalan Sentul di Kuala Lumpur.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau komen di platform media sosial berkaitan kes itu.
Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya mempunyai 11 anak yang masih bersekolah dan kini bekerja sebagai penjual sate dengan pendapatan tidak menentu.
“Beliau juga pernah memegang jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO bagi 2008 hingga 2013 dan sangat dihormati dalam kalangan ahli keluarga serta masyarakat,” katanya.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan Lokman diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan membuat apa-apa kenyataan di media sosial berkaitan kes itu.
Sebutan semula kes ditetapkan 26 Sept.
Leave a Reply