Gesa parti Melayu duduk cari jalan untuk bertolak ansur

KEENGGANAN sesetengah pemimpin UMNO  menerima Bersatu bukanlah kerana terlalu ego, tetapi dipengaruhi oleh isu bersifat peribadi yang mahukan kerusi bertanding dalam pilihan raya nanti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam wawancara dengan saluran Youtube Feng Ren Guan berkata, jika Bersatu menyertai permuafakatan Pas-UMNO, pembahagian kerusi terpaksa ditentukan melibatkan sama Bersatu menyebabkan Ketua Bahagian UMNO tertentu tiada peluang bertanding.

“Sepatutnya kita tengok dalam kerangka besar. Bagi Pas kita tengok kerangka besar, contohnya waktu kita bincang soal Menteri Kanan kan. Pas ada 18 undi, Ahli Parlimen 18. GPS (Gabungan Parti Sarawak juga ada) 18.

“GPS ada Menteri Kanan. Bersatu ada Menteri Kanan, dua. UMNO ada seorang Menteri Kanan. Sepatutnya Pas dapat Menteri Kanan kan? Sebab Pas 18, sama dengan GPS. Tapi bagi kami, bagi Pas, kita usah berebut jawatanlah.

“Yang penting kita jaga negara, rakyat tengah susah. Kita fokus pada bantu rakyat dulu daripada kita duk berebut jawatan, akhir rakyat terbiar. Bagi Pas ni kita tengok dalam kerangka besar. Kerangka besar negara kita nak bawa ke mana?

“Kalau kita duk bergaduh, rakyat kita tengah susah. Jadi saya fikir ni bukan time yang baiklah. Jadi sebab itu kita nak supaya tiga-tiga parti ni, terimalah hakikat untuk hadapi PRU15, kita duduk bersama.

“Mana yang kebetulan seat dia dah dimenangi oleh parti lain, you buat rehatlah dulu. Tapi mungkin ada yang boleh-boleh bantulah. Kerja menjaga negara ini banyak,” katanya lapor Harakah Daily.

Kata beliau, kesatuan ketika ini bukan sahaja dimahukan rakyat daripada orang Melayu, tetapi juga oleh bukan-Melayu kerana mengakui ia faktor kepada kestabilan negara.

Tegas beliau, Pas dalam konteks tersebut berusaha mempertahankan usaha penyatuan dan sering berbincang dengan UMNO untuk menerima Bersatu dan mengajak Bersatu menerima UMNO.

“Perkara-perkara kecil-kecil ini kita boleh runding. Polisi asasnya kita ada pilihan raya ini, kita kena ada kekuatan bersama. Tapi bukan untuk mengenepikan nasib non-Muslim, bukan! Tapi soal kalau kita lemah, rakan-rakan kita nak bergantung dengan siapa?

“Jadi, oleh kerana itu negara ini perlu stabil. Sebab itu bila Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri kan UMNO  tarik sokongan. Masa itu kecoh. Kemudian bila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pegang, kita buat CSA dengan pembangkang, kerjasama.

“Okey, politik stabil. Ya, tenanglah walaupun isu kita masih banyak, tapi boleh tenang. Jadi ketenangan ini penting dalam konteks politik. Saya fikir saya setuju bahawa parti-parti Melayu ini perlu duduk dan cari jalan macam mana untuk tolak ansurlah.

“Politik ini kena tolak ansur banyak. Kalau kita saya pertahan hak saya, orang itu berkata hak dia, jadi akhirnya tidak akan dapat kata sepakat dalam konteks politik negara kita,” nasihatnya lagi.

Menjawab mengenai status Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ia masih wujud dan kedua-dua parti tidak mahu dibubarkan di mana bagi Pas ia adalah jambatan penyatuan ummah.

Kerana katanya, jika Melayu sebagai komuniti rakyat yang majoriti ini berpecah, maka negara dan kaum minoriti sedang ada juga tidak akan stabil sepertimana keadaannya bagi sebuah keluarga.

“Kalau mak ayah duk bergaduh, walaupun anak-anak itu baik, rumah tangga tak akan tenang. Amankan dulu, keluarga ini. Jadi dalam konteks besar kita, kita orang Melayu ini perlu duduk bersama dulu.

“Sebab kestabilan orang Melayu akan menyebabkan yang bukan-Melayu akan turut stabil, dalam konteks negara, kita bincang dalam konteks masa depan negara kita. Itu asasnya,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here