Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEJUMLAH 10 daripada 14 sayap wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor menyifatkan keputusan pucuk pimpinan melantik Zuraidah Zainab sebagai Ketua Wanita PKR Johor yang baharu sebagai angkuh.
Ketua Wanita PKR Cabang Pasir Gudang, Norfazilah Mohamad Nor berkata, keputusan melantik Zuraidah yang juga Ketua Wanita PKR Johor Bahru itu membelakangkan keputusan mesyuarat dan pengundian pada 5 Ogos lalu.
Jelas beliau yang merupakan jurucakap bagi 10 sayap berkenaan, pelantikan itu dipersoalkan sedangkan majoriti sayap mahukan Ketua Wanita PKR Cabang Kluang, Haryati Abu Nasir sebagai ketua sayap negeri yang baharu.
“Keputusan ini bertentangan dengan keputusan awal iaitu 10 daripada 14 sayap wanita PKR Johor memilih Haryati. Keputusan sebelum ini dibuat secara demokrasi selepas merasakan Haryati paling sesuai menjadi Ketua Wanita Johor PKR,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Khabar angin mengenai pelantikan Ketua Wanita PKR Johor bertiup kencang sebelum ini yang didakwa wujud campur tangan daripada kepimpinan PKR Cabang Johor Bahru yang diterajui Ketuanya, Akmal Nasrullah Nasir.
Akmal Nasir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru didakwa daripada kem Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Mengulas lanjut, Norfazilah berkata, keputusan tersebut juga jelas bertentangan dengan kehendak akar umbi.
Pihaknya mahukan keadilan dalam isu tersebut dan memahami keputusan melantik jawatan ketua wanita PKR negeri adalah hak kepimpinan tertinggi parti namun perkembangan itu menunjukkan sikap pucuk pimpinan yang angkuh.
“Bagi kami, perpaduan parti adalah penting di Johor lebih-lebih lagi pilihan raya umum sudah semakin hampir,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mempersoalan pelantikan itu bukan bermaksud mahu menimbulkan pergeseran tetapi mahukan penjelasan.
Norfazilah kesal apabila pengundian yang dilakukan sebelum ini dengan majoriti sayap wanita PKR Johor mahukan Haryati tidak dihormati.
“Apa gunanya kepimpinan memanggil kami pada hari itu untuk mendapatkan mandat melantik ketua sayap wanita PKR Johor yang baharu jika tidak mahu menghormati mandat yang telah kami berikan,” soalnya.
Pihaknya sudah menghantar surat yang menyuarakan rasa tidak puas hati 10 sayap wanita PKR tersebut kepada pucuk pimpinan parti dan kini menunggu maklum balas.
Beliau menggesa kepimpinan parti mengekalkan Haryati kerana sudah mendapat mandat yang jelas untuk memimpin sayap wanita PKR Johor.
“Sebuah organisasi hanya akan berjaya atas dasar saling menghormati semua pihak dan menghormati keputusan dibuat majoriti,” katanya.
Leave a Reply