kerajaan PRU-15 tekanan dalaman UMNO

‘Drama’ di Dewan Merdeka, apa dosa Ismail Sabri?

SABTU lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di Bera bagi merasmikan Majlis Pelancaran ReDI dan Penjenamaan Semula Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Peringkat Kebangsaan.

Kehadiran Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera disambut dengan penuh meriah, tiada ejekan, tiada sorakan yang disulami dengan kemarahan, namun di Kuala Lumpur, Ismail Sabri seolah-olah menjadi sasaran di Dewan Merdeka ketika berlangsung Taklimat Khas Presiden UMNO.

Entah apa dosa anak kelahiran Temerloh, Pahang dan graduan jurusan Undang-Undang Universiti Malaya itu, apabila beliau menjadi ejekan dan diboo setiap kali namanya disebut.

Ismail Sabri bukanlah pemimpin daripada parti lain yang menjadi Perdana Menteri tetapi beliau adalah Perdana Menteri daripada UMNO yang beliau adalah Naib Presidennya.

Tetapi malangnya emosi menguasai suasana di Dewan Merdeka. Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu telah memungkinkan Ismail Sabri menjadi sasaran ejekan.

Aneh! entah apa yang dimahukan oleh segelintir pemimpin dan ahli UMNO sehingga sanggup mengejek dan mungkin juga mencerca Perdana Menteri daripada parti mereka sendiri.

Apa yang berlaku kepada Najib tiada kaitan sama sekali dengan Ismail Sabri. Najib dihadapkan ke mahkamah dan berhadapan dengan proses undang-undang bukan disebabkan Ismail Sabri.

Najib didapati bersalah dan dihukum oleh mahkamah bukan berpunca daripda Ismail Sabri dan Rayuan Najib ditolak oleh Mahkamah Persekutuan bukan atas arahan Ismail Sabri. Tiga mahkamah dan Sembilan hakim membuat keputusan berdasarkan fakta dan bukti yang dibentangkan kepada mereka.

Justeru kenapakah Ismail Sabri menjadi sasaran ejekan? Apa salah Ismail Sabri sehingga beliau dilayan seolah-olah bukan pemimpin UMNO? Adakah kerana Ismail Sabri tidak berusaha menyelamatkan Najib melalui kuasa Perdana Menteri yang ada kepada beliau? Wajarkah sebagai Perdana Menteri beliau mencampuri urusan mahkamah?

Sepatutnya pemimpin dan ahli UMNO bersyukur kerana Ismail Sabri tidak mencampuri urusan mahkamah. Seharusnya ahli UMNO lega kerana Ismail Sabri telah menyelamatkan UMNO daripada menjadi sasaran kecaman jika beliau dilihat campurtangan dalam urusan mahkamah.

Apa  yang berlaku sebaliknya, Ismail Sabri dilihat oleh segelintir pemimpin dan ahli UMNO seolah-olah sudah melakukan ‘dosa’ kepada parti apabila membiarkan Najib menjadi penghuni Penjara Kajang. Berikutan itu Dewan Merdeka menjadi saksi bukan sahaja drama air mata tetapi bagaimana hipokritnya kelompok tersebut.

Sememangnya ahli-ahli UMNO mudah lupa bagaimana satu ketika dahulu mereka mengecam parti lawan khususnya PKR yang ‘menyerang’ kerajaan apabila Anwar Ibrahim didakwa. Perdana Menteri daripada UMNO menjadi sasaran. Sekarang orang UMNO sendiri mengecam Perdana Menteri mereka.

Dan dulu juga UMNO menuduh Pakatan Harapan mencampuri urusan mahkamah dan pelantikan Peguam Negara serta hakim-hakim, tetapi sekarang pemimpin UMNO sendiri terpekik terlolong apabila Ismail Sabri tidak mahu mencampuri urusan berkenaan.

Yang anehnya, ada pula pemimpin UMNO berhujah dulu Pakatan Harapan lantik peguam negara, Ketua Pesuruhanjaya SPRM pilihannya sendiri, DAP pula melobi Richard Malanjun.

Pemimpin UMNO itu bertanya,’’ Jadi (adakah) PH dan Bersih masih berani menyeru orang lain supaya menghormati jawatan peguam negara dan badan kehakiman.’’

Soalnya adakah apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan itu mahu ‘dicontohi’ oleh UMNO? Kalau begitu apa bezanya UMNO dengan Pakatan Harapan? Atas sebab itulah apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman ke atas Najib, ramai orang di luar UMNO menghormati pendirian Ismail Sabri yang ternyata tidak mencampuri urusan mahkamah sama seperti mana dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Perikatan Nasional memimpin kerajaan.

Kenapakah pemimpin dan ahli UMNO yang mempertikai dan mengejek Perdana Menteri di Dewan Merdeka tidak memikirkan bahawa Ismail Sabri sebenarnya telah menyelamatkan parti itu daripada dianggap ‘dua kali lima’ sahaja dengan Pakatan Harapan apabila sudah ada kuasa.

Sepatutnya tindakan Ismail Sabri tidak mencampuri urusan mahkamah dihormati dan disanjung bukannya diejek seolah-olah beliau sudah melakukan ‘dosa besar’ kepada UMNO.

Ismail Sabri tidak sewajarnya dilayan sedemikian rupa. Sebaliknya, harus dihormati sebagai Perdana Menteri yang menjalankan tanggungjawabnya mengikut lunas undang-undang dan tahu pembahagian kuasa antara institusi.

Semoga apa yang berlaku di Dewan Merdeka pada Sabtu lalu tidak berulang kerana seperti mana pendapat sebahagian ahli MKT, ia perbuatan melampau yang boleh menjejaskan imej dan maruah bukan sahaja Ismail Sabri tetapi juga UMNO secara keseluruhannya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *