KETUA Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari membidas penasihat khas perdana menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana membelakangi cadangan pernah disuarakannya bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara ketika berkhidmat sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kenyataan Azalina “melantik peguam negara orang dia” merupakan seruan kembali ke belakang, selain mempersoalkan visi Ahli Parlimen Pengerang itu yang mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi pembaharuan dikatakan sebelum ini.
“Ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan oleh kerajaan pada hari ini, seruan ini kelihatan kembali ke belakang.
“Pada ketika kenyataan itu dibuat, menariknya ia juga sebagai menyahut cadangan Ahli Parlimen Pengerang yang ketika itu sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, di mana beliau menuntut supaya sebuah RCI ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara,” katanya di Facebook.
Katanya, langkah paling baik adalah memisahkan fungsi peguam negara dengan tugas pendakwaan.
Ini sebenarnya telah dimulakan perancangan oleh pihak kerajaan ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang),” katanya.
Fadhli bagaimanapun tidak pasti sejauh mana perancangan pemisahan fungsi yang disebut itu sudah dilaksanakan.
“Namun, ia perlu dihidupkan dan dijayakan dengan serius jika mahu melihat undang-undang dilaksanakan dengan adil dan dilihat adil,” katanya.
Semalam, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kenyataan lantik “orang dia” membuktikan UMNO dan Barisan Nasional mengawal penjawat awam mengikut kehendak parti mereka.
Radzi yang juga menteri kanan pendidikan ketika mengulas lanjut, berkata kenyataan Azalina itu menunjukkan sikap sebenar Umno.
Pada 27 Ogos ketika berucap pada taklimat khas presiden Umno, Azalina menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan peguam negara.
Katanya, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan “tidak boleh dipersoalkan”.
“Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik orang dia untuk jadi peguam negara,” katanya.
Leave a Reply