DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas mengenai spekulasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didakwa diawalkan susulan perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.
Perdana Menteri meminta semua supaya menunggu mengenai tarikh pilihan raya umum itu.
“Tunggu…tunggu,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan, lapor BH Online.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Taklimat Khas Presiden di hadapan lebih 2,000 ahli parti itu berkata, MKT akan berbincang mengenai desakan supaya PRU-15 diadakan segera.
Namun, MKT yang bermesyuarat malam tadi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hasil mesyuarat terbabit setakat ini.
Media sebelum ini melaporkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal.
Ia dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini, selepas diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.
Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau turut mengesahkan perjalanan Takwim Dewan Rakyat yang menggariskan mesyuarat ketiga penggal kelima bermula Oktober ini juga diawalkan.
Perkembangan itu membuka spekulasi bahawa PRU-15 mungkin diadakan dalam masa terdekat.
Leave a Reply