Oleh BADLISHAH MAT
UMNO tidak mungkin dapat berkuasa semula walaupun mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera selepas merasakan kini adalah waktu terbaik buat mereka untuk menang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan UMNO itu sebenarnya ibarat terjun ke dalam lubang yang digali sendiri.
Beliau berkata, masih banyak masalah rakyat yang belum diselesaikan oleh kerajaan ketika ini dan tiada jaminan PRU-15 akan menyelesaikan kesemua perkara itu.
“Masalah-masalah ekonomi, harga barang belum selesai, Covid-19 pun sama. Kemudian isu buruh asing, memang banyak masalah. Jadi seolah-olahnya kalau buat (PRU-15) sekarang, saya rasa dia seolah-olah macam gali lubang, terjun sendiri.
“Tapi bagi orang yang ada agenda lain dikira ini masa terbaik. Walhal itu bukan terbaik pun. Mungkin lepas pada ini lebih teruk lagi. Tak ada orang tahu.
“Dia ada dua kemungkinan, mungkin lebih baik atau mungkin lebih teruk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Kepenggunaan KPDNHEP Kedah di Kolej Vokasional Langkawi, di Langkawi, hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, desakan terbabit dipercayai dibuat bagi menyelesaikan isu mahkamah yang dihadapi sebahagian pemimpin parti berkenaan.
Namun, Rosol yakin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih memahami masalah yang dihadapi kerana mempunyai ‘bird’s eye view’ mengenai isu yang melanda negara.
“Pemimpin ini dia tengok macam bird’s eye view seperti burung. Dia tengok semua sekali di mana ada lurah, di mana ada bukit, di mana ada lembah dan sebagainya dia tahu. Orang lain (hanya) tengok ke atas, jadi tak tahu masalah,” ujarnya.
Leave a Reply