Laungan Kestabilan bertukar ‘KeNAJIBan’?

SELAMA ini segelintir pemimpin UMNO mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan atas alasan bagi mewujudkan kestabilan politik.

Mereka juga mencanangkan Kerajaan yang ada sekarang walaupun dipiimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO namun banyak gangguan. Justeru mereka mendesak PRU diadakan secepat mungkin.

Ismail Sabri diberi tekanan dari segenap sudut supaya beliau membubarkan Parlimen, kemuncak tekanan kepada Perdana Menteri ialah apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International.

Apabila bekas Presiden UMNO itu mula menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai Selasa lalu, maka tekanan sudah bertukar kepada ‘serangan’ ke atas Ismail Sabri.

Dan semalam, seluruh rakyat Malaysia termasuk ahli UMNO menyaksikan betapa buruknya perangai segelintir pemimpin UMNO apabila menjadikan medan Taklimat Khas Presiden UMNO di WTC sebagai ‘gelanggang’ memalukan Ahli Parlimen Bera itu.

Laungan Kestabilan Kemakmuran yang sebelum ini menjadi bahan kempen UMNO dan BN di PRN Melaka dan Johor sudah tidak kedengaran sebaliknya ia dihiasi dengan ejekan kepada Perdana Menteri dan drama air mata yang sebelum ini cukup popular suatu ketika dahulu apabila Anwar Ibrahim dipenjara.

Kalau dulu, penyokong-penyokong Anwar mengejek Tun Dr.Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri, tidak mengapalah sebab mereka ahli atau penyokong PKR, tetapi apa dosa Ismail Sabri sehingga beliau yang berjuang berpuluh-puluh tahun dalam UMNO dan menjadi Perdana Menteri daripada UMNO dimalukan, diejek malah diperlekeh oleh ahli UMNO sendiri?

Jika melalui media sosial atau perhimpunan dianjurkan pihak lain, okla kita tak tahu mereka ahli UMNO atau tidak, ini dalam Dewan Merdeka yang semua orang tahu ia bagaikan ‘gelanggang keramat’ kepada UMNO, bagaimana mungkin seorang Perdana Menteri daripada UMNO mendapat layanan sedemikian? Siapa dalang di sebalik perbuatan yang dianggap biadab tersebut?

Benar, Perdana Menteri tidak berada di situ sebaliknya beliau berada di Bera atas tugas rasmi, tetapi apa yang berlaku di Dewan Merdeka pasti beliau tahu dan sebagai manusia biasa, beliau pasti terasa. Namun apa yang lebih penting, Taklimat Khas itu menjejaskan imej UMNO di mata rakyat.

Tindakan mempersoalkan proses mahkamah ke atas Najib telah mewujudkan persepsi adakah UMNO mahu institusi kehakiman mengikut telunjuk mereka? Adakah bila keputusan menyebelahi pemimpin mereka itu keadilan tetapi bila pemimpin mereka dihukum macam-macam persoalan dibangkitkan?

Malang sekali, hanya kerana Najib dihukum, segelintir pemimpin UMNO bagaikan ‘tenggelam punca’ dan  ada antaranya seolah-olah mahu menjadikan ia momen terbaik untuk mendesak PRU secepat mungkin.Dan lebih buruk lagi, apabila orang mengaitkan desak PRU itu disebabkan Presiden mereka, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ada kes mahkamah.

Zahid sudah menafikan andaian itu dengan menegaskan, desakan itu adalah tuntutan akar umbi tetapi politik berkaitan persepsi dan kerana persepsi jugalah BN hampir kuasa lebih awal dalam PRU iaitu pada tahun 2008.

Mahu tidak mahu, pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya mereka yang ghairah menekan Ismail Sabri perlu mengakui, apa yang berlaku ketika Taklimat Khas Presiden di Dewan Merdeka adalah satu kesilapan dan memalukan UMNO. Rakyat muak melihat gelagat keterlaluan segelintir pemimpin parti itu yang tidak sudah-sudah berpolitik.

Yang anehnya, apabila tindakan mereka dikecam maka mula menuding jari kepada orang di luar UMNO, malah media juga turut menjadi sasaran sehingga hendak saman menyaman. Tetapi mereka lupa yang membuka ‘pekung’ bukan orang lain tetapi dalam kalangan pemimpin sendiri.Justeru tidak payah menyalahkan orang lain.

Baguslah kalau betul malam tadi ‘kehangatan’ di Dewan Merdeka tidak dibawa masuk ke mesyuarat MKT walaupun Zahid menyatakan desakan akar umbi mahu PRU diadakan secepat mungkin akan disampaikan dalam mesyuarat berkenaan.

Cumanya diharapkan ‘kestabilan dan solidariti’ yang dikatakan menjadi pegangan pemimpin UMNO benar-benar diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Ia memandangkan apa yang berlaku di Dewan Merdeka menyebabkan orang tertanya-tanya adakah UMNO akan menukar slogannya daripada ‘Kestabilan kepada KeNAJIBAN’. Soal Najib biarlah proses undang-undang tentukan. Lagipun beliau masih berhadapan dengan empat lagi kes yang sedang dibicarakan.

Oleh itu janganlah kerana apa yang berlaku terhadap Najib, Ismail Sabri pula menjadi sasaran. ketegasan Perdana Menteri yang tidak mahu mencampuri urusan mahkamah harus dihormati. Pada masa sama mereka juga tak perlu nak desak Ismail Sabri bubar Parlimen. Sebelum ini, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau juga dengan tegas tidak mahu mencampuri urusan mahkamah.

Betul, pemimpin dan ahli UMNO berhak bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas Najib tetapi ia sama sekali tidak boleh dijadikan modal politik apatah lagi kempen sedih dalam PRU. Biarlah PKR sahaja berbuat demikian.

Selain itu, segelintir pemimpin UMNO janganlah angkuh sangat bahawa PRU-15 akan menyebelahi mereka. Dalam PRU macam-macam boleh berlaku. Dan perlu diingat jumlah ahli yang ramai bukan penentu kemenangan sesebuah parti. Sebaliknya mereka juga turut memerlukan sokongan daripada pengundi bukan ahli parti.

Paling penting, rakyat sekarang sudah ada pilihan. Mereka boleh menentukan sama ada mahu memilih parti yang pemimpinnya ada masalah integriti atau memberi peluang kepada gabungan lain yang pemimpinnya terbukti tiada masalah integriti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *