TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, beza Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) amat jauh ibarat langit dan bumi.
Pengerusi PN itu berkata, walaupun namanya hampir sama, parti yang diterajuinya itu lebih mementingkan kesejahteraan rakyat dan negara.
Beliau menjelaskan, sewaktu menjadi Perdana Menteri, beliau mengarahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz agar mencari duit untuk diberikan kepada rakyat yang susah.
Namun dakwa beliau, BN hanya mementingkan untuk kaut apa yang ada selagi sempat untuk kepentingan suku-sakat mereka.
“Jadi, walaupun Perikatan Nasional dan Barisan Nasional namanya hampir sama, tetapi bezanya jauh ibarat langit dan bumi.
“Saya harap para pengundi jangan salah memilih dalam PRU 15 nanti. Pilih Perikatan Nasional, bukan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Perikatan Nasional di Serdang hari ini.
Pada masa sama, Muhyiddin turut mengingatkan amalan ‘ambil apa yang sempat’ atau ‘rembat apa yang dapat’ atau ‘sakau-menyakau’ tidak boleh menjadi budaya dalam Perikatan Nasional (PN).
Tegas Ahli Parlimen Pagoh itu, ia adalah budaya yang salah dari segi hukum agama, undang-undang, moral dan etika masyarakat.
Beliau berkata, amalan itu jika dibiarkan membarah boleh menjadi punca kejatuhan bukan sahaja parti politik, tetapi masyarakat, negara dan tamadun.
“Untuk melangkah ke hadapan dengan lebih yakin dan gagah, Malaysia perlu mempunyai suatu ekosistem budaya, politik dan pengurusan kerajaan yang bebas rasuah dan berintegriti.
“Pengalaman lalu mengajar kita bahawa budaya politik yang dilingkari amalan rasuah merupakan suatu kemungkaran yang rosak lagi merosakkan,” katanya.
Leave a Reply