ebit lew mahkamah

Kes Ebit Lew dibicara 27 Sept depan

POLIS Bukit Aman mengesahkan prosiding perbicaraan membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim atau Ebit Lew akan bermula 27 hingga 30 September depan di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, Ebit Lew didakwa atas 11 pertuduhan gangguan seksual di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

“Beliau akan dibicarakan pada 27 hingga 30 September di mahkamah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Februari lalu, Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Litar Tenom atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Ebit, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya dalam semua 11 pertuduhan terbabit.

Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin.

Pada 18 Februari lalu, Ebit Lew, yang juga seorang usahawan didakwa di Mahkamah Majistret Tenom terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, sebelum ini dilaporkan berkata, Ebit Lew berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah, di antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu.

Pada Julai tahun lalu, siasatan terhadap Ebit Lew dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan pada Ogos dan Oktober tahun lalu dan beliau berkata, dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *