PEMUDA PAS tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan di seluruh negara jika kerajaan kekal dengan keputusan membenarkan beberapa siri konsert artis antarabangsa terus diadakan.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, antara faktor siri konsert itu tidak wajar diadakan ialah kerana masa yang tidak sesuai, nilai yang dibawa tidak bersesuaian, serta bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.
Justeru beliau menegaskan, Pemuda PAS sangat berharap menteri yang berkenaan dapat menimbang untuk membatalkan dan menarik semula kebenaran untuk konsert-konsrt ini berlangsung.
“Pihak kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara jika ia tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, Pemuda PAS menggesa NGO dan individu yang prihatin kepada isu itu untuk “bangkit” bersama mereka menghalang penularan budaya hedonisme.
“Mohon gerakkan usaha bantahan ini agar ia sampai ke Seri Perdana di Putrajaya.
“Jika ada saudara seagama yang berperanan sebagai penghalang usaha ini baik dengan tindakan mahupun dengan kata-kata, doakanlah mereka mendapat hidayah,” katanya.
Gesaan itu dikeluarkan genap seminggu selepas penyanyi terkenal AS, Billie Eilish, mengadakan persembahan di Kuala Lumpur.
Sebelum ini Ahmad Fadhli sendiri sudah mengeluarkan rasa tidak senangnya ke atas konsert tersebut. Ia dibuat lebih 12 jam selepas konsert berlangsung.
Mengikut maklumat yang tular, selepas ini ada beberapa lagi konsert yang dijadual berlangsung di negara ini. Antaranya ialah kumpulan Justi Bieber, Dewa19, dan Blackpink.
Leave a Reply