SEORANG pemimpin kanan Bersatu membidas Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai membelakangkan realiti apabila menuduh kelompok bukan Islam dan Bumiputera sebagai perosak politik dan ekonomi negara.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua sayap Bersekutu Bersatu, Chong Fat Full menyelar presiden PAS itu kerana menindakkan hakikat ramai yang didakwanya bersabit kes rasuah adalah kaum Melayu.

“Kita boleh tengok sendiri, pemimpin yang naik turun mahkamah yang ada kes rasuah itu (rata-rata) Bumiputera. Dia tak boleh kata kita rosakkan politik dan ekonomi negara.

“(Walaupun bersama Perikatan Nasional) sebagai seorang pemimpin bukan Bumiputera saya berhak untuk tidak bersetuju,” katanya kepada FMT.

Sayap Bersekutu dianggotai oleh ahli bukan Islam dalam Bersatu dan antara lain diberi amanah untuk menarik sokongan bukan Melayu untuk Bersatu dan PN.

Chong berkata, kenyataan Hadi itu menyukarkan misi sayap itu.

Ini kerana, jelasnya, kenyataan Hadi itu boleh ditafsirkan sebagai cubaan menggambarkan sayap itu sendiri sebagai ‘perosak’ dalam Bersatu.

“Beliau (Hadi) cakap macam itu (seolah-olah) bermakna sayap ini (Bersekutu) merosakkan Bersatu,” katanya.

PN dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP). Kecuali Bersatu serta PAS, tiga parti dalam komponen itu mewakili masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu.

Mengulas lanjut, Chong yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pemanis menegaskan walaupun Hadi adalah pemimpin utama PN, kenyataan beliau bukan mewakili gabungan berkenaan.

“Kenyataan Tok Guru (Hadi) tidak boleh mewakili PN, sebab kita bukan macam itu dan ada pelbagai bangsa. Kita (Bersekutu) tidak boleh terima, STAR dan Gerakan pun saya rasa tolak,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Star Kong Soon Choi menggesa Hadi meminta maaf secara terbuka kepada rakyat negara ini khususnya masyarakat bukan Islam bagi “menyejukkan” keadaan tegang ekoran polemik yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Marang itu.

Dalam pada itu, Chong menyifatkan kenyataan ekstrem Hadi itu hanya menyukarkan usaha mereka “membawa” undi masyarakat bukan Islam dan Bumiputera kepada PN.

“Siapa yang hendak rasuah? Kenyataan Tok Guru itu akan tambah bebanan kerja yang telah kita lakukan untuk tarik pengundi bukan Bumiputera.

“Tok Guru satu geng (kumpulan) dengan PN, jadi kita kena berusaha kuat jelaskan pandangannya (bukan mewakili PN),” tegasnya.

Chong berkata, Duta Khas ke Timur Tengah itu juga seharusnya lebih adil dalam mengeluarkan kenyataan dengan menyertakan fakta bukan hanya menembak secara rambang yang ‘kesannya’ turut terkena ahli politik Islam dan Bumiputera.

“Beliau sendiri mengecilkan peranan Bumiputera yang mana kita semua perlu terima bahawa kelompok ini yang mendominasi politik Malaysia, secara tidak langsung beliau kata semuanya (masyarakat Bumiputera) ini tidak guna.

“Kalau saya pemimpin Bumiputera saya pasti marah dan seolah-olah kami tidak berguna,” kata Chong yang turut menyifatkan kenyataan Hadi sebagai tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, jurucakap Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan bos mereka.

“Tak manis, sebab itu presiden. Sorry (maaf) ya, nanti saya ada masalah,” katanya kepada FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here