Pemuda didenda RM4,000 jadi keldai akaun

MAHKAMAH Majistret Melaka hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang pemuda atas kesalahan menyembunyikan wang berjumlah RM10,000 milik orang lain, tiga tahun lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Halimee Azman, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan, lapor Harian Metro.

Abdul Halimee dituduh menolong menyembunyikan RM10,000 iaitu wang hasil penipuan Macau Scam yang dimasukkan penama, Rosidah Manah @Manap, 56, ke akaun CIMB Bank miliknya dengan mempercayai bahawa ia bukanlah hak tertuduh.

Kesalahan dilakukan di CIMB Ayer Keroh pada 12 September 2019 antara 12.54 hingga 12.59 tengah hari, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, seorang Pembantu Tadbir Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka, membuat laporan polis mendakwa ditipu sindiket Macau Scam, selepas menerima panggilan ‘Pos Laju’ yang memaklumkan dia mempunyai bungkusan kad pengenalan dan kad kredit yang dihantar ke Kuching, Sarawak.

Seorang lelaki memperkenalkan diri Inspektor Ting meminta mangsa mengikut segala arahan jika tidak mahu ditangkap dan mangsa membuat bayaran keseluruhan RM80,000 ke empat akaun bank berasingan.

Dalam siasatan, pegawai CIMB Bank turut mengesahkan terdapat kemasukan wang milik mangsa ke akaun tertuduh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *