Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
Akhirnya kebenaran yang dicari-cari dan diperjuangkan selama ini menemui kejayaan apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menyeleweng wang RM42 juta syarikat SRC International Sdn Bhd.
Rentetan keputusan mahkamah itu, Najib dihantar ke penjara Kajang bermula semalam dan perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan lima tahun lagi penjara jika gagal membayar denda RM210 juta.
Apa yang diputuskan hakim itu juga telah menjawab segala perkara yang melingkari isu itu yang menjadi perdebatan sejak ia pertama kali dibongkar lapan tahun lalu dan perbicaraan mahkamah terhadap Najib bermula Julai 2018.
Walaupun berdepan dengan pelbagai drama dan penangguhan, keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwa berdasarkan banyak bukti yang menunjukkan Najib menyeleweng wang berkenaan.
Bagi penulis, keputusan itu amat bermakna kerana ia sedikit sebanyak dapat mengubah pandangan rakyat yang masih percaya bahawa Najib tidak bersalah.
Mereka – sebahagian daripadanya merupakan orang kampung dan bandar yang mudah terpengaruh dengan pemesongan fakta yang digunakan Najib dan sekutunya bahawa skandal 1MDB dan penyelewengan yang banyak itu adalah isu lapuk senjata pembangkang.
Mereka juga mudah terpedaya dengan senjata mempergunakan agama sepertimana dilakukan Najib yang mana terakhir ini melakukan sumpah mubahalah untuk menafikan bahawa dia menyeleweng wang.
Bukan sahaja sekali tetapi tiga kali sumpah penafian sedangkan di mahkamah yang paling sesuai untuk mempertahankan diri, Najib dan barisan peguamnya tidak mampu mengemukakan bukti bagi menunjukkan Najib tidak bersalah.
Bagi yang bersedih dan tidak kurang yang menangis sebak dengan hukuman terhadap Najib terutamanya makcik-makcik yang datang daripada jauh seperti Pekan Pahang, sedarlah bahawa mahkamah tidaklah sewenang-wenangnya dalam membuat sesuatu keputusan.
Banyak bukti yang secara terang-terangan menunjukkan perjalanan bagaimana wang yang banyak itu berakhir di akaun Najib dan digunakan untuk tujuan peribadi.
Yang patut ditangisi adalah betapa banyak wang rakyat telah dijarah oleh Najib dan sekutunya untuk kepentingan peribadi mereka.
Lihatlah kembali bagaimana wang-wang tersebut digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk membeli barangan mewah dan berjoli sakan.
Bukti nyata bahawa wang tersebut telah hilang juga sudah terpampang apabila kerosakan yang ditinggalkan Najib perlu dibayar kerajaan dengan duit rakyat apabila hutang 1MDB adalah lebih RM30 bilion.
Jumlah itu amat besar dan jika tidak diselewengkan, ia dapat disalurkan ke tempat yang sepatutnya.
Susulan keputusan mahkamah semalam juga, penulis berharap penghargaan dapat diberikan kepada pemimpin yang berani ke depan dalam membongkarkan apa yang telah dilakukan Najib.
Antaranya pada masa itu, Datuk Khairuddin Abu Hassan yang kerap menggerakkan usaha dalam membongkarkan penyelewengan.
Begitu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini dipecat oleh Najib kerana menyuarakan penyelewengan dalam 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.
Jasa mereka cukup besar kerana sanggup kehilangan jawatan demi mempertahankan prinsip amanah dan integriti.
Tidak lupa kepada pemimpin lain seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang yang sentiasa bersuara supaya kes berkaitan penyelewengan itu terus dibongkar sehingga Najib didakwa.
Tanpa usaha semua pemimpin yang berani itu, rakyat tidak akan dapat menyaksikan Najib diheret ke muka pengadilan dan seterusnya dihukum setimpal dengan apa yang dilakukannya.
Jika tidak, kita semua akan terus menangisi dan sedih melihat harta negara yang merupakan hak rakyat diselewengkan secara berterusan tanpa ada rasa malu oleh pemimpin-pemimpin korup.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply