Oleh HASSAN KARIM
SAYA berasa lega. Bukan kerana mantan Perdana Menteri Najib Razak masuk penjara. Saya lega kerana akhirnya kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan dapat ditegakkan di Malaysia ini.
Saya gembira. Bukan kerana rayuan Najib Razak ditolak. Saya gembira kerana institusi Kehakiman dapat kembali tegak, bebas dan bermaruah.
Saya bukan seorang sadist yang bertempik bersorak sorai kerana Najib Razak akhirnya dibawa ke Penjara Kajang.
Saya pernah berasa sedih ketika Anwar Ibrahim dibawa ke Penjara Sungai Buluh beberapa tahun yang lalu. Maka saya berasa simpati kepada penyokong-penyokong Najib Razak terutama mereka yang beramai-ramai datang menaiki bas dari Pekan, Pahang.
Seperti Anwar, Najib juga ada penyokong.

Benar, Najib telah tumbang hari ini. Tetapi dia telah melawan dan memberi tentangan hebat dan sekuat yang mungkin di mahkamah. Najib tidak mudah menyerah kalah. Ini watak seorang pahlawan.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang menjadi peguam utama Najib adalah rakan peguam kami di Johor. Kenalan baik kami.Najib memiliki pasukan peguam yang hebat.
Saya bukan penyokong Najib, bukan simpatisan Najib. Malah dari segi politik kami bertentangan pendirian.
Di Parlimen Najib di blok Kerajaan dan saya di blok pembangkang.
Tetapi saya masih ada sedikit sebanyak rasa hormat kepada Najib sebagai mantan Perdana Menteri dan juga anak sulung kepada Allahyarham Tun Abdul Razak, pemimpin yang saya hormati.
Ketika Najib menjadi Perdana Menteri, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Ini satu fakta yang perlu diakui.
Apabila lima orang hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak rayuan Najib Razak dan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta ke atasnya, maka saya secara jujur, menarik nafas lega.
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini adalah satu hadiah yang paling berharga kepada 33 juta rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.
Saya mulai percaya bahawa Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesamarataan ternyata dapat dipraktikkan.Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang di Malaysia.
Ini dapat dibuktikan apabila buat kali pertama di dalam sejarah Malaysia, bekas seorang Perdana Menteri berjaya diheret ke Mahkamah, didakwa dan dibicarakan dan apabila sabit bersalah dihukum penjara dan didenda.
Kini saya boleh berjalan dengan penuh yakin bahawa situasi di Malaysia selepas ini akan menjadi lebih baik dan memberi harapan.
- Hassan Abdul Karim adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang
Leave a Reply