DATUK Seri Najib Tun Razak mendakwa badan kehakiman telah bersikap tidak adil terhadapnya.
Dari kandang tertuduh di Mahkamah Persekutuan hari ini, ahli politik berusia 69 tahun itu berkata sepanjang minggu lepas, beliau menyaksikan peluangnya untuk berjaya dalam rayuan itu terhakis secara perlahan-lahan.
“Bukan kerana ketiadaan merit tetapi kerana saya tidak diwakili. Saya mendapati keputusan Mahkamah Yang Mulia ini meskipun menghalang peguam saya menarik diri, hakikatnya saya masih tidak diwakili.
“Yang Arif, saya merayu agar mahkamah tidak mengambil hati dengan apa yang saya luahkan, tetapi ini adalah apa yang saya rasakan. Sebagai seorang tertuduh dan perayu di peringkat akhir kes, perasaan inilah yang paling teruk, iaitu apabila menyedari badan kehakiman menentang saya dengan cara yang paling tidak adil,” kata beliau ketika membaca pernyataan 20 muka surat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata inilah kali pertama beliau menukar peguam atas sebab yang munasabah dan ini juga kali pertama permohonan penangguhan dalam tempoh empat bulan, tidak seperti kes lain apabila penangguhan kira-kira 70 kali dibenarkan oleh mahkamah.
“Dikatakan bahawa tertuduh adalah orang paling penting dalam mahkamah jenayah, namun saya berasa dianiaya dan saya rasa perbicaraan yang adil tidak diberikan kepada saya,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply