Generasi kabur sejarah, semangat patriotik semakin mengendur

guane

RAKYAT Malaysia kini sedang berada di bulan kemerdekaan, iaitu bulan untuk kita semua menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke 65.

Bulan ini merupakan cukup bermakna untuk kita semua ingati kerana ia merupakan imbasan detik paling bersejarah bagaimana pemerintahan Tanah Melayu ketika itu akhirnya bebas secara mutlak daripada cengkaman penjajah.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur di atas kegigihan dan pengorbanan pejuang-pejuang serta pemimpin silam yang sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan negara ini mencapai kemerdekaan.

Tidak kiralah mereka yang terlibat itu dari bangsa dan keturunan mana sama ada Melayu, Cina, India atau suku kaum orang asli.

Malah, berdasarkan semangat patriotik serta keikhlasan yang dimiliki itulah, pemimpin dan pejuang kerdil berjiwa kental tersebut mampu berhadapan dengan kuasa besar, sekaligus nembawa kepada pengunduran tentera British.

Pencapaian luar biasa itu sememangnya menjadi kebanggaan kita semua kerana sejarah telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh melakukan apa sahaja sekiranya kita memiliki semangat juang yang tinggi dengan berganding bahu dalam melakukan suatu tugas besar.

Persolannya, apakah semangat sedemikian masih kekal dan menebal dalam diri setiap bangsa kita selepas melewati 65 tahun negara ini mencapai kemerdekaan?

Dan apakah generasi selepas merdeka menyedari perkara ini atau sekurang-kurang nya mereka cuba memahat memori sejarah silam bagi meneruskan kesinambungan meletakkan negara kita berada ditempat terbaik?

Namun, penulis berasa amat sedih sekali apabila hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sambutan detik ulang tahun kemerdekaan ke 65 negara akan tiba, belum nampak tanda tanda wujudnya semangat patriotik yang menebal dalam diri masyarakat kita.

Malah, setakat ini penulis mendapati di kebanyakan jalan di negeri Terengganu, masih belum nampak rakyat mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang.

Yang ada berkibar adalah bendera politik mewakili parti-parti tertentu.

Begitu juga dengan bangunan premis kerajaan, swasta, pusat perniagaan, pasar-pasar awam masih belum terhias dengan Jalur Gemilang sedangkan majlis pelancaran bulan kemerdekaan telah pun dilaksanakan.

Ini menyebabkan penulis tertanya-tanya sendiri apa sudah jadi dengan orang kita? Sukarkah untuk membeli dan memasang Jalur Gemilang di hadapan premis masing-masing agar ia tidak kelihatan lengang dan sepi?

Atau adakah kita tidak lagi memiliki patriotisme ekoran semakin muak dengan isu-isu politik menjengkelkan?

Dan adakah juga kebarangkalian kita sudah terlupa erti sebuah kemerdekaan dan keperitan hidup nenek moyang kita dahulu yang dilambung kesengsaraan sehingga terpaksa mengalas perut dengan hanya memakan ubi kayu?

Sebagai generasi selepas merdeka, cukuplah cerita-cerita sedih orang tua kita sewaktu zaman pemerintahan Jepun dan Inggeris dahulu dijadikan sebagai pedoman.

Apa yang jelas sekarang generasi kita semakin kabur sejarah, manakala semangat patriotik pula semakin mengendur.

Ia berlaku mungkin disebabkan kerana mereka seakan hanyut dibuai dengan kehidupan lebih mewah.

Apa yang dikesalkan, orang kita dilihat lebih megah mengibarkan bendera parti politik berbanding Jalur Gemilang.

Ini secara tidak langsung memperlihatkan kekuatan bangsa kita semakin rapuh.

Panji-panji yang menjadikan simbol penyatuan dan semangat bangsa Melayu dahulu seakan layu di hujung zaman.

Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan rakyat Indonesia yang hidupnya di bawah kemiskinsn masih ssnggup membeli bendera sendiri setiap kali menyambut hari kemerdekaan negara.

Bukan sahaja dijalan-jalan raya dan premis perniagaan, sebaliknya turut dikibarkan di halaman rumah dan juga kawasan perkebunan tanpa mengharapkan sumbangan kerajaan.

Adakah rakyat kita hanya memasang bendera dan mula bersemangat apabils kerajaan terus mengagihkan bendera secara percuma?

Kita seharusnya renungi perkara ini dan tidak seharusnya meletakkan semangat patriotik dalam diri kita dengan dikaitkan imej subsidi bagi memeriahkan tanggal 31 Ogos yang hadir pada setiap tahun.

Kalau perlakuan generasi kita berterusan seperti ini, tidak mustahil suatu hari nanti negara kita kembali dijajah sedangkan tanpa disedari fikiran dan minda sesetengah masyarakat kita sedang dijajah.

Justeru, bagi membuktikan semangat patriotik kita kepada negara, semua rakyat perlu proaktif untuk sama-sama bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *