Oleh RIZQI ZABIDI
TINDAKAN pihak tertentu yang mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 disegerakan hanyalah disebabkan oleh kemahuan nafsu orang politik semata-mata.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim, tindakan sedemikan tidak seharusnya dilakukan ketika tumpuan wajar diberi kepada perkara melibatkan kepentingan rakyat bagi berdepan cabaran pasca pandemik.
Ketika ini katanya, semua pihak berdepan tanggungjawab membina negara dan kekuatan rakyat untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
“Kita masih ada masa tetapi kenapa nak tergesa-gesa adakan PRU? Kalau nak adakan pilihan raya ini, bila-bila pun boleh termasuklah tidak berapa lama selepas PRU-14 dulu tetapi masing-masing perlu sedar bahawa kita memiliki peranan dan tanggungjawab untuk bina negara.
“Tanggungjawab itu termasuklah mengatasi masalah paling besar dalam negara iaitu rasuah. Kita perlu beri perhatian bagaimana nak bekerjasama dengan seluruh rakyat untuk menangani rasuah yang merosakkan negara,” katanya.
Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Libat Urus Sekolahku Sejahtera – Pemerkasaan Pentaksiran Psikometrik Dan Hal Tuju Kerjaya Murid Kedah 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dekat Alor Setar, hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Facebooknya semalam seolah-olah memberi peringatan kepada pucuk pimpinan kerajaan supaya menyegerakan PRU atau UMNO serta BN akan tewas.
Menurut Ahmad Zahid, tindakan melengahkan PRU hanya akan memberi senjata kepada musuh untuk terus menyerang UMNO.
Dalam pada itu Awang berkata, Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang akan berlangsung awal September depan di Alor Setar, bakal menjadi medan memperkukuhkan kekuatan parti menjelang PRU-15.
“Insya Allah parti ini walau dalam suasana politik yang bagaimana sekali pun, kita teruskan dengan agenda wajib mengadakan muktamar tahunan. Tahun lepas pun walau ada yang kata politik tidak stabil, kita tetap adakan pemilihan dan tidak menggunakan alasan bagi menangguhakn perkara penting tersebut.
“Dalam muktamar itu nanti, tumpuan tentunya terarah kepada usaha mengukuhkan perpaduan ummah kerana setakat ini pun, tiada lagi usul dari mana-mana kawasan untuk memutuskan hubungan sama ada dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN). Kita akan terus pastikan usaha memantapkan perpaduan ummah ini terus berlaku,” katanya
Leave a Reply