Alasan sebenar Zahid mahu PRU15

Nampaknya Zahid Hamidi benar-benar terdesak mahu PRU15 diadakan dengan segera. Jika dikira, sudah banyak kali Presiden UMNO itu membuat desakan serupa.

Setiap kali desakan dibuat, alasan yang sama digunakan iaitu ketika ini adalah masa terbaik untuk UMNO dan BN menang pilihan raya umum (PRU).

Dakwa Zahid, jika lagi lambat PRU diadakan, maka kesempatan berkenaan akan digunakan parti lawan untuk terus menyerang BN.

Yang paling peliknya, desakan untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya adalah terhadap kerajaan yang ketika ini diterajui pimpinan UMNO sendiri.

Ismail Sabri selaku Perdana Menteri adalah Naib Presiden UMNO dan ramai lagi pemimpin utama UMNO yang memegang jawatan kanan dalam Kabinet.

Dan jika Zahid hendak melabelkan kerajaan Ismail Sabri sebagai lemah pun tidak kena kerana Tok Chey lihat sempena setahun pentadbiran PM kesembilan, banyak artikel yang memuji Ismail Sabri. Boleh dikatakan majoriti media arus perdana memuji Ismail Sabri dengan pujian yang menggunung.

Pelbagai kata positif dinyatakan oleh pakar ekonomi dan politik mengenai keupayaan Ismail Sabri menyelesaikan isu kesihatan, ekonomi, inflasi dan sebagainya.

Bahkan ada satu artikel yang Tok Chey baca, seorang pensyarah universiti berkata Ismail Sabri perlu diberikan ruang lebih lama untuk menyelesaikan isu-isu penting yang masih tertangguh.

Pensyarah itu berkata, Ismail Sabri wajar diberikan lebih masa berdasarkan keupayaan beliau menyelesaikan isu-isu penting yang tidak dapat dilakukan oleh pemimpin terdahulu.

Jika ditinjau kepada situasi semasa pun tidak kena kerana keadaan ketika ini amat tidak mengizinkan apabila cuaca yang tidak menentu di mana kerap kali berlaku banjir kilat dan musibah lain terutamanya di kawasan bandar.

Keadaan itu sudah pasti menyukarkan proses pengundian kerana sudah pasti banyak pusat mengundi akan terjejas disebabkan banjir kilat dan sebagainya.

Jika Zahid menggunakan alasan akar umbi yang mendesak mahukan PRU segera pun Tok Chey nampak macam tak kena juga.

Ini kerana jika ditinjau di laman-laman sosial, topik PRU15 bukan keutamaan rakyat ketika ini tetapi mereka sebaliknya lebih mengutamakan kepada soal harga makanan, kos sara hidup dan kesihatan. Tambahan pula rakyat sebenarnya lebih tertarik untuk mengetahui pengakhiran kepada skandal-skandal besar yang sedang menjadi topik hangat ketika ini.

Sekiranya diadakan PRU15, maka fokus kepada kes-kes berkenaan akan terganggu. Contohnya, rakyat ternanti-nanti apa yang berlaku melibatkan skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang hangat diperkatakan ketika ini.

Bagaimana syarikat yang mempunyai masalah kewangan serius boleh dilantik untuk membina kapal dengan nilai RM9 bilion.

Banyak persoalan timbul bagaimana wang RM6 bilion yang sudah dibayar kepada syarikat berkenaan digunakan untuk membayar hutang syarikat dan tiada satu pun kapal disiapkan sehingga kini.

Belum terjawab juga peranan Najib dan Zahid ketika masing-masing memegang jawatan PM dan Menteri Pertahanan ketika skandal LCS berlaku. Begitu juga kes melibatkan Najib Razak di mana rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu dalam kes penyelewengan dana RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Rakyat tak sabar mahu tahu pengakhiran kes itu yang sudah sekian lama tertangguh berbanding cerita soal pilihan raya.

Dan tidak kurang penting juga, rakyat mahu tahu apakah yang sebenarnya berlaku dalam 47 pertuduhan rasuah yang dihadapi Zahid berkaitan kes rasuah dana Yayasan Akal budi.

Jika dinyatakan satu persatu, banyak lagi perkara lain yang menjadi keutamaan rakyat berbanding untuk mengadakan pilihan raya. Jadi desakan Zahid untuk segerakan PRU15 amat mudah dibaca sebab musababnya.

*Tok Chey berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *