Bayi 4 bulan maut selepas kain lampin tutup muka

BAYI lelaki berusia empat bulan maut selepas mengalami sesak nafas akibat kain lampin berada di muka ketika berada dalam buaian di rumah pengasuhnya di Taman Cempaka, Ampang Jaya, semalam.

Kejadian tersebut diketahui apabila Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang menerima pesakit bayi berusia empat bulan pada pukul 6.30 petang,

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pesakit dibawa dari klinik di Pandan Indah dengan ambulans Hospital Ampang.

“Semasa tiba di Hospital Ampang, pesakit sudah tidak bernyawa. Bantuan kecemasan diberikan tetapi mangsa menunjukkan tanda-tanda kematian.

“Bayi terbabit tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 6.35 petang. Punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu, pada pukul 10.30 malam tadi, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya membuat tangkapan terhadap wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang juga pengasuh bayi itu.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah atau dadah.

“Keterangan awal suspek memaklumkan mangsa sesak nafas kerana kain lampin dalam buai menutup muka.

“Ketika kejadian ibu bapa mangsa sedang bekerja manakala bayi itu dihantar ke rumah suspek untuk dijaga,” katanya.

Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini untuk direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *