PIHAK pendakwaan dalam rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak berkait kes SRC International memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa, tiada siapa tahu apa berlaku terhadap sebahagian besar RM4 bilion milik Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), selepas ia dipindahkan ke bank luar negara.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Pendakwaraya ad hoc, Datuk V Sithambaram berkata, “sebahagian besar daripada RM4 bilion”, atau RM3.6 bilion telah dihantar ke Bank BSI di Lugano, Switzerland pada 2012.
Sejumlah RM4 bilion telah dipindahkan daripada KWAP kepada SRC antara 2011 dan 2012.
“Kini dana itu nampaknya dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland,” katanya.
Sithambaram menegaskan perkara itu semasa perbicaraan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ingin terbang ke Switzerland untuk menyelesaikan isu dana dibekukan itu dan seterusnya membawa pulang wang tersebut.
Bagaimanapun, katanya, Najib telah menolak permintaan Husni.
“Perayu (Najib) berkata (semasa perbicaraan) Husni tidak mempunyai ‘perancangan yang betul’. Ini terbukti ia tidak dapat diselesaikan walaupun Najib melepaskan jawatan (pada 2018),” katanya.
Sithambaram berkata, pinjaman RM4 bilion daripada KWAP bertujuan untuk melaksanakan kerja memenuhi dasar tenaga negara.
“Bagaimanapun, wang itu tidak digunakan untuk ini dan tidak ada satu projek pun diusahakan oleh SRC International,” katanya.
Perbicaraan diteruskan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Panel lain terdiri Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohamad Diah.
Najib berusaha untuk membatalkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke akaun banknya.
Sabitan beliau dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lalu, begitu juga hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Leave a Reply