SELEPAS Mahkamah Persekutuan menolak dua permohonan Najib Razak dalam kes SRC International yang kini berada peringkat rayuan terakhir, beberapa pemimpin UMNO memberi ulasan masing-masing.
Kalau dibaca betul-betul mereka secara tidak langsung pertikai keputusan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
TT tak tahu komen pemimpin lain tetapi TT baca komen tiga pemimpin yang memang semua orang tahu penyokong tegar Najib iaitu Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, Ahli MT UMNO, Puad Zarkashi dan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki.
Zahid dalam satu kenyataan berkata;
Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib Razak untuk memasukkan bukti tambahan boleh menghakis integriti badan kehakiman.
Kata beliau;
UMNO bertegas untuk tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah. Namun, kami percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat telah dilaksanakan.
Puad seperti dilaporkan oleh portal FMT berkata;
“Saya tidak faham kenapa mahkamah tidak mahu membenarkan beliau mengemukakan keterangan baharu yang beliau rasakan penting untuk kesnya.
“Mahkamah patut membenarkan beliau mengemukakan keterangan baharu dan membuat keputusan mereka berdasarkan semua keterangan yang dikemukakan. Ini akan membantu mengelakkan persepsi bahawa sistem keadilan kita cacat,” katanya.
Asyraf Wajdi pula berhujah, keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti tambahan dilihat merencatkan hak tertuduh.
Dalam Facebook beliau seperti dilapor Malaysiakini, Asyraf Wajdi berkata, sekiranya bukti-bukti itu tidak kuat sekalipun, panel panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sepatutnya membenarkan peguam bekas Perdana Menteri itu mengemukakannya terlebih dahulu.
“Tidakkah mahkamah mahu tahu apakah bukti itu? Tidakkah kita semua juga mahu tahu apa yang sebenar-benarnya berlaku? Dan pada akhirnya jika bukti-bukti ini mahu ditolak juga, maka tolaklah atas sebab kelemahan bukti ini sendiri. Bukannya atas sebab teknikal yang sebenarnya boleh ditimbang atas budi bicara,” katanya .
Zahid belajar Sastera di Universiti Malaya pada tahun 1975-1976. Selanjutnya beliau mengambil kursus Certificate in Banking dan Diploma in Marketing Communication.
Asyraf merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan juga memiliki Sarjana Ekonomi, Perbankan dan Kewangan Islam serta Ph.D dalam Perbankan dan Kewangan Islam daripada Loughborough University, United Kingdom. Puad pula pernah menjadi Pensyarah Sosiologi di UKM.
Kalau ikut latarbelakang mereka, ketiga-tiga tidak ada kelulusan undang-undang, mungkin mereka pandai sikit bab undang-undang ini sebab ramai pemimpin UMNO termasuk Zahid dok ulang alik pi mahkamah.
Tetapi itu tidak bermakna mereka, boleh membuat kenyataan yang dilihat atau dianggap mempertikaikan keputusan mahkamah. Sepatutnya Zahid, Asyraf dan Puad diam sahaja kerana mahkamah sudah membuat keputusan. Walaupun masing-masing bukan mahu mencampuri urusan mahkamah tetapi ia ibarat orang kata,”aku bukan nak mengumpat, nak mengata saja”.
Proses selanjutnya biarlah pasukan peguam Najib uruskan. Ini bukan soal politik atau petisyen pilihan raya tetapi ini soal pendengaran rayuan kes jenayah. Apa yang Zahid, Asyraf Wajdi dan Puad tahu? Sepatutnya mereka tak komen apa-apa, kalau nak komen juga cukup sekadar minta ahli-ahli UMNO bersolidariti bersama Najib…itukan bagus?
Ini tidak! Macam nak tunjuk pandai pula dalam bab-bab undang-undang. Kalau setakat ini komen nak tunjuk bela ‘bossku’ bolehlah tetapi kena hati-hati. Ini proses mahkamah dan keputusan hakim harus dihormati.
TT yakin kalau kelmarin, Mahkamah Persekutuan menerima permohonan Najib..dah pasti Zahid, Asyraf dan Puad akan puji melangit, tetapi bila tak menyebelahi boss mereka, mulalah ‘meracau’.
Jadi adalah lebih baik mereka terutamanya Zahid duduklah diam-diam dalam soal kes rayuan Najib tu. Lagipun Asyraf pun dah kata, “Saya percaya akan ada hikmah yang Allah akan datangkan. Buat Najib, sekiranya ini adalah ujian maka percayalah Dia tidak pernah menguji hamba-Nya melainkan sesuai dengan kemampuan mereka.
“Apa juga yang berlaku, rakyat pasti tidak akan lupa siapa yang telah membawa negara ini ke satu aras yang tidak pernah tercapai sebelumnya.’’
Betul…TT setuju sangat.. sebab itu ramai kata ada hikmahnya BN kalah PRU-14 dahulu, kalau tidak, mungkin skandal kewangan seperti SRC dan 1MDB diam begitu sahaja. Dan rakyat juga tak lupa kerana skandal itulah nama Malaysia tercemar…kan, kan…
Leave a Reply