ANGKARA mencuri seluar dalam wanita, seorang lelaki dikenakan hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.
Hukuman diputuskan Majistret Jessica Ombou Kakayun ke atas Muhammad Rizal Richard Abdullah, 39, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan itu.
Tertuduh didakwa mencuri pakaian dalam wanita di Taman Puncak, Menggatal, Kota Kinabalu, pada pukul 1.39 pagi, 11 Ogos lalu.
Kejadian itu dirakam menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tertuduh dengan tidak memakai baju mencuri pakaian dalam wanita menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah mangsa sebelum laporan polis dibuat.
Muhammad Rizal ditahan di rumahnya pada 13 Ogos lalu dan pemeriksaan menemui 10 jenis pakaian dalam wanita dalam simpanan tertuduh.
Pertuduhan dilakukan Inspektor Albert Basiri selaku pegawai pendakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu ketika rayuan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nabila Norsahar, meminta hukuman ringan memandangkan Muhammad Rizal mengaku bersalah dan menyesal atas perbuatannya.
Nabila menegaskan tertuduh sudah bercerai dan mempunyai dua anak selain tidak bekerja dan dibiayai keluarganya.
Namun, pegawai pendakwa meminta hukuman berat dikenakan memandangkan tertuduh melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap wanita.
Menurut laporan BH Online, Albert juga menekankan bahawa kesalahan sebegitu amat memalukan golongan lelaki, malah semasa ditahan tertuduh didapati memakai seluar dalam wanita itu.
Leave a Reply