Cadangan ‘Kerusi MN’: Halangan mungkin dari UMNO – veteran PAS

PEMIMPIN veteran PAS menyokong cadangan supaya parti itu dan UMNO menamakan “Kerusi Muafakat Nasional” di 27 kawasan Parlimen yang disifatkan sebagai berisiko jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) jika dua parti itu bertembung pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, kesepakatan itu sebaiknya bukan hanya bagi PAS dan UMNO membabitkan 27 kerusi berisiko, malah juga perlu melibatkan Bersatu untuk memastikan kemenangan selesa PRU15 secara menyeluruh.

“PAS belum berputus asa mengenai cadangan kita nak menyatukan umat, memang kita terus berusaha memujuk UMNO supaya sanggup bergabung dengan tiga parti PAS, Bersatu dan UMNO. Kalau nak jatuhkan PH memang itu saja caranya.

“Jadi saya setuju dengan cadangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki (PAS-UMNO bekerjasama dengan menamakan 27 kerusi Parlimen berisiko jatuh ke tangan PH dinamakan kerusi Muafakat Nasional), bukan sahaja dengan UMNO tetapi dengan Bersatu,” katanya kepada FMT.

Ditanya bagaimana PAS ingin memastikan 27 kerusi Kerusi Muafakat Nasional tidak diganggu Bersatu, Mahfodz berkata halangan untuk mengelak pertembungan terletak di tangan UMNO yang sebelum ini bertegas mahu bergerak solo.

Katanya, PAS tidak berdepan laluan sukar soal rundingan dengan Bersatu, memandangkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu secara konsisten memberi komitmen untuk berunding.

“Semalam saya jumpa Presiden PAS, (Tan Sri) Abdul Hadi Awang. Beliau memang kata kita masih belum putus hubungan dengan UMNO dan akan terus berusaha supaya tiga parti ini terus bergabung menyelamatkan negara dari dikuasai PH semula dalam PRU nanti.

“Presiden tegaskan (jika) nak menang, tiga parti ini mesti kerjasama,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa ruang untuk menyatukan Umno-Bersatu masih ada memandangkan ramai pemimpin Umno mahukan usaha itu menjadi realiti.

“Sebab dalam UMNO bukan semua tak baik. Ada yang baik, ada yang boleh berkompromi, ada yang nak menyelamatkan umat Melayu. (Dengan) mereka itu kita akan runding supaya tiada pertembungan sesama sendiri – kalau bertembung memang PH akan menang,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Zuhdi mencadangkan PAS dan UMNO menamakan “Kerusi Muafakat Nasional” di 27 kawasan Parlimen yang disifatkan berisiko jatuh ke tangan PH jika mereka bertembung pada PRU15. Katanya, pada PRU14 lalu, 20 daripada kerusi itu jatuh ke tangan PH sekali gus membolehkan mereka menguasai kerajaan.

Sementara itu Ketua Penerangan Khairil Nizam Khirudin menyifatkan cadangan dibuat Mohd Zuhdi merupakan pandangan peribadi yang tidak mewakili parti buat masa ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *