Cacar monyet: WHO sahkan jangkitan pertama manusia ke haiwan

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa individu dijangkiti cacar monyet agar mengasingkan diri mereka daripada haiwan selepas mengesan jangkitan pertama antara manusia dan haiwan.

Menurut jurnal perubatan Lancet, kes melibatkan dua lelaki dan anjing baka greyhound mereka di Paris yang dilaporkan minggu lalu.

Lapor The Guardian, Ketua teknikal tindak balas cacar monyet di WHO, Dr Rosamund Lewis, perkara itu belum pernah dilaporkan sebelum ini dan pihaknya percaya ia adalah kejadian pertama.

Pakar kesihatan berkata, ia merupakan kes pertama seumpamanya dan menegaskan adalah penting untuk mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan yang dijangkiti.

WHO juga memberi amaran tentang keperluan untuk membuang sampah dengan berhati-hati bagi mengurangkan risiko menjangkiti haiwan lain.

Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti bahawa anjing boleh menularkan penyakit itu kepada anjing lain atau manusia.

Cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit dan juga apabila seseorang menyentuh kain seperti pakaian, cadar atau tuala, yang telah digunakan individu dijangkiti virus itu.

Kira-kira 35,000 kes cacar monyet kini telah disahkan di seluruh dunia dengan kebanyakannya di Eropah dan Amerika Utara dan Selatan dengan 12 kematian yang dikaitkan dengan wabak itu.

Cacar monyet diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam global oleh WHO pada Julai lalu.

Bekalan vaksin untuk melindungi daripada cacar monyet kini terhad di seluruh dunia.

Terdapat peningkatan 20 peratus dalam kes yang dilaporkan sepanjang minggu lalu yang juga 20 peratus lebih daripada minggu sebelumnya.

Kebanyakan kes adalah pada lelaki homoseksual dan pakar kesihatan global menekankan kepentingan untuk semua negara memberi maklumat kepada komuniti ini untuk membantu melindungi kesihatan mereka.

Isu haiwan yang dijangkiti virus itu perlu dipantau dengan teliti kerana virus ini telah wujud.

Cacar monyet telah menunjukkan kebolehan untuk menjangkiti pelbagai jenis mamalia termasuk tupai, tikus, monyet dan manusia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *