Hina mahkamah: Lokman diberi amaran terakhir

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan “amaran terakhir” terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam kerana menghina mahkamah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan perintah itu selepas Lokman mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat berhubung tindakannya pada 30 Jun lalu.

“Kejadian seperti itu tidak sepatutnya berulang,” kata Sequerah.

Pada 30 Jun lalu, Lokman diberikan notis tunjuk sebab oleh Sequerah kerana tindakannya mengeluarkan kata-kata tidak sewajarnya terhadap seorang anggota polis mahkamah dan juga mempertikaikan sistem perundangan negara ketika perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut notis tunjuk sebab yang dibacakan kepada Lokman di mahkamah, Lokman telah berkata: “Orang di depan dibenarkan, jadi mengapa saya tidak boleh? Bodoh!”

Terdahulu, Lokman mengemukakan permohonan maaf berhubung tindakannya dua bulan lalu selepas hakim mendapati dia bersalah menghina mahkamah.

“Saya berjanji tidak akan mengulanginya dan akan mematuhi peraturan (mahkamah) apabila saya memasuki mahkamah lain kali. Saya merayu agar Yang Arif (Sequerah) memaafkan saya dan hanya mengenakan amaran. Saya tidak sepatutnya mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ di mahkamah,” katanya lapor FMT.

Peguam K Balaguru kemudian meminta Lokman mengesahkan bahawa dia tidak akan mengulangi tindakan sedemikian pada masa akan datang.

“Saya berjanji,” kata Lokman.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *