PRU-15: UMNO, Pas perlu berkorban jika tak mahu terkorban

Oleh BADLISHAH MAT

PEMIMPIN UMNO dan Pas perlu sedia berkorban bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi sekiranya kedua-dua parti itu tidak mahu ‘terkorban’, apabila ia berkemungkinan akan membawa keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail, pertembungan antara kedua-dua parti itu terutamanya dalam konteks Parlimen Alor Setar hanya akan membawa kemenangan kepada PH.

“Kalau bertembung UMNO dan Pas, memang PH yang untung. Jadi pemimpin atasan perlu lihat dan janganlah sampai nak jaga ego atau pendirian, menyebabkan bangsa atau negara ini tergadai kepada orang lain.

“Pemimpin UMNO dan Pas kena duduk sekali dan kalau kena korban, berkorbanlah kerana saya tengok, akan ada yang terkorban. Kita jangan tengok hanya kepada kepentingan peribadi sebaliknya lihat kepentingan ummah dan biarlah kehilangan satu atau dua kerusi tetapi negara masih dalam kekuasaan kita daripada hilang seluruh kuasa seperti PRU-14 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) PRU-15 Peringkat Parlimen Alor Setar di Taman Budiman, Alor Setar malam tadi.

Semalam, Ketua Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, mereka sama sekali tidak berminat dan tidak mahu berkasih sayang dengan Pas, hanya kerana ada kepentingan tertentu yang hendak dicapai.

Menurutnya, penolakan tersebut bukan kerana UMNO atau BN sombong sebaliknya penyatuan perlulah dibina atas niat serta sebab yang baik, dan bukan semata-mata kerana hendak kekal berkuasa atau mahukan lebih banyak kerusi.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Yusof turut mengakui UMNO bahagian itu memerlukan sokongan Pas sekiranya parti itu diberi peluang untuk bertanding di Parlimen Alor Setar.

“Walaupun tiada kesepakatan di peringkat atas, tetapi saya seru ahli-ahli kita serta orang UMNO sekiranya UMNO diberi peluang bertanding di Parlimen Alor Setar ini, tuan-tuan perlu dapatkan sokongan daripada sahabat kita daripada Pas.

“Kalau tidak UMNO tak menang, Pas tak menang. Yang menang adalah PH ibaratnya gajah sama gajah berperang, yang untung orang lain,” katanya.

Mohd. Yusof menyifatkan Muafakat Nasional (MN) sebagai muafakat terbaik memandangkan hitungan sebelum ini menjangkakan gabungan tersebut mampu meraih sehingga 148 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu sekiranya bersama.

Namun beliau berpandangan, MN kini sudah berada di penghujung tetapi memaklumkan beliau bersama pasukannya akan ke Kuala Lumpur bagi proses memulihkan semula muafakat berkenaan.

“Tetapi kalau dilihat kepada kenyataan dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, kalau beliau nak mengata pun biarlah berlapik kerana kita ini orang Melayu. Beliau menyindir, mengata UMNO dengan menyatakan ‘mailah’ kalau nak tumpang Pas.

“Janganlah cakap begitu kerana dalam hidup, kita tak boleh angkuh dan riak. Kalau nak jemput, jemput elok-elok dan kalau nak panggil, kita bermusyawarah sebab beliau menjadi Menteri Besar pun hasil daripada UMNO.

“UMNO yang melaksanakan tugasan awal untuk membolehkan beliau menjadi Menteri Besar. Walaupun cuma ada dua kerusi pada masa itu, tetapi parti inilah yang memainkan peranan membolehkan beliau menjadi Menteri Besar dan saya seru kepimpinan UMNO atau Pas untuk bermuhasabah diri,” katanya.

Dalam pada itu, UMNO Bahagian Alor Setar yakin dapat kembali merampas dua daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen Alor Setar iaitu Suka Menanti dan Alor Mengkudu.

“Kita akan menang di DUN Suka Menanti dan Alor Mengkudu. Daripada apa yang kita lakukan termasuk program-program dilaksanakan di kawasan berkenaan, kedua-dua DUN itu kita pasti menang.

“Keadaan semasa menampakkan sokongan dan pengundi kita pada PRU-13 akan kembali. Kita sudah kira dan kali ini mereka tidak akan lagi tertipu dengan PH,” katanya.

Suka Menanti kini diwakili Datuk Zamri Yusuf daripada PKR, manakala Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah menyandang DUN Alor Mengkudu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *