SEORANG wanita berperwatakan lelaki yang memakai ihram ketika mengerjakan umrah tidak menggunakan khidmat 35 syarikat yang bernaung di bawah

PERSATUAN Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ) menegaskan, seorang wanita berperwatakan lelaki yang menunaikan umrah dengan memakain ihram tidak menggunakan khidmat 35 syarikat di bawah naungan persatuan itu.

Presidennya, Mohd Ali Sabri Abd Rahman berkata, maklumat awal mendapati wanita pergi secara ‘DIY’ (diurus sendiri) bersama rakannya.

“Kita di pihak PUHAZ menyokong apa sahaja tindakan undang-undang yang ditetapkan Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan JAKIM berhubung isu (pengkid pakai ihram) ini. Kita memang menyokong sepenuhnya apa yang dilakukan oleh pihak berwajib bagi mengekang perkara yang tidak baik,” katanya pada sidang media di Ipoh.

Sehubungan itu beliau menegaskan, daripada sudut hukum fekah umrah yang dikerjakan oleh individu itu tidak sah.

“Tidak sah umrah jika berpakaian demikian kerana dia perempuan tetapi berpakaian menyerupai lelaki. “Hukum daripada sudut pemakaian, orang perempuan memakai pakaian lelaki adalah haram apatah lagi di Tanah Suci. Jadi, dalam perkara ini jika dilihat dari segi hukum hakamnya dia sudah menghina agama,” katanya.

Berikutan apa yang berlaku, beliau menasihatkan mana-mana jemaah yang mahu mengerjakan umrah menggunakan ejen pelancongan supaya ada pemantauan dari sudut hukum.

“Tidak salah umrah secara DIY tetapi kena memahami hukum hakam, kita di pihak PUHAZ memang menjaga jemaah dari segi bimbingan hukum dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah dalam tempoh sepanjang mengerjakan umrah,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad,  berkata tindakan tegas menanti kepulangan wanita berkenaan.

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan kerana isu berkenaan membabitkan hukum agama dan meminta bantuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyiasat bagi memastikan kesahihan isu yang sedang tular di media sosial itu, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here