SEORANG kanak-kanak lelaki rentung, lima individu lagi melecur dalam satu kebakaran di Kampung Perpaduan, Kinabatangan, pada pukul 12.35 tengah malam tadi.
Kanak-kanak berkenaan dikenal pasti sebagai Mohd. Adlinsyah Mohd. Adsni yang berusia enam tahun.
Sementara lima lagi mangsa iaitu ibu bapa dan adik-beradik kanak-kanak berkenaan berusia tiga hingga 43 tahun.
Dalam pada itu, dua lagi penghuni rumah berkenaan dilaporkan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.40 tengah malam.
“Sejurus itu enam anggota dihantar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba operasi memadamkan api segera dijalankan.
“Selepas api berjaya dikawal pada 2.04 pagi, pemeriksaan menemui seorang kanak-kanak rentung di bilik.
“Lima lagi mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dilaporkan melecur lima hingga 70 peratus di badan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, semua mangsa cedera dihantar Hospital Kinabatangan dan mayat mangsa rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, sebuah motosikal turut musnah dan rumah berkenaan hangus sepenuhnya.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.56 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Leave a Reply