Bajet 2023 beri penekanan kebajikan Keluarga Malaysia – PM

BAJET 2023 yang akan dibentang pada Oktober ini akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia juga akan mengambil kira kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.

“Alhamdulillah, selepas hampir setahun menerajui pentadbiran negara, saya gembira melihat prestasi ekonomi negara kini berada di landasan kukuh untuk kembali pulih dan berdaya tahan.

“Jumaat lepas, Bank Negara mengumumkan prestasi suku kedua ekonomi negara pada tahun ini yang berkembang sebanyak 8.9 peratus dengan disokong kegiatan ekonomi yang kembali normal,” katanya berucap pada Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Wanita Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi, dan Presiden PERTAMA Sariha Mohd Ali.

Sementara itu ketika mengulas prestasi ekonomi negara, Ismail Sabri berkata meskipun negara berdepan dengan kenaikan inflasi dunia, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan telah meningkat dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan rekod baharu pada bulan Mei 2022 dengan merekodkan RM129.8 bilion, sekali gus menjadi jualan tertinggi sejak tahun 2013,” katanya.

Perdana Menteri berkata jumlah dagangan Malaysia juga melepasi paras RM2 trilion buat pertama kalinya pada tahun 2021, iaitu peningkatan 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya hasil prestasi memberangsangkan bagi eksport domestik dan eksport semula.

Selain itu beliau berkata jumlah aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) bersih bagi tahun 2021 ialah sebanyak RM48.1 bilion, mengatasi tahun-tahun sebelum wabak COVID-19.

Ismail Sabri berkata sejak negara beralih ke Fasa Peralihan ke Endemik, kadar pengangguran negara juga telah kembali menurun ke paras seperti sebelum pandemik COVID-19 iaitu 3.8 peratus.

Beliau berkata di sebalik angka-angka positif yang dikongsi, masih terdapat kumpulan yang tetap memburukkan kerajaan dan mengelirukan orang ramai serta ingin menganjurkan ‘flashmob’ dengan dakwaan bahawa ekonomi negara tetap merudum.

“Kita dengar di luar sana pelbagai kekeliruan ditimbulkan pihak-pihak tertentu. Bahawa ekonomi semakin merudum dan sebagainya jadi saya harap melalui media berita yang sebenar dapat disebarkan,” katanya.

— BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *