SEORANG eksekutif swasta hilang semua duit simpanan dalam masa sehari selepas ditipu skim perniagaan mudah dalam media sosial yang menawarkan kerja sambilan.
Mangsa terperangkap kononnya kerja yang diberikan sangat mudah iaitu hanya ‘like’ barangan yang dijual secara atas talian dan mangsa dijanjikan pulangan 20 peratus daripada modal.
Dia yang mahu dikenali sebagai Azri, 30-an, menerima mesej tawaran daripada nombor tidak dikenali menerusi WhatsApp, bulan lalu.
Mangsa diminta menyukai produk di platform e-dagang dan menghantarkan tangkap layar kepada nombor tertentu sebelum menerima upah berkenaan.
“Saya ditawarkan kerja sambilan di Internet. Ia semudah ‘like’ barangan yang dijual dan hantar bukti untuk menerima bayaran dan akan dibayar RM4 untuk setiap satu.
“Mula-mula saya dapat RM28 hingga RM620 dan individu itu kemudian menawarkan saya pilihan utama iaitu saya perlu membeli barangan.
“Selepas beberapa transaksi, saya membayar RM5,580 untuk pembelian semula seperti yang diminta namun dimaklumkan ada masalah teknikal,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Azri yang inginkan semula modalnya itu diminta untuk membuat pembelian lain sebagai syarat untuk kelulusan bayaran balik.
Dia seolah-olah tidak sedar bahaya menanti dan terus melakukan dua transaksi selepas itu kerana ingin mendapatkan semula modal asal.
“Ketika ini saya sedar sudah kena tipu dengan sindiket ini dan menyesal. Individu itu terus menghubungi saya meminta bayaran kononnya untuk membantu mendapatkan semula wang.
“Saya memang menyesal kerana terlalu inginkan wang mudah. Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan tawaran seperti ini yang akan menjerat diri,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Pengguna Siber Malaysia Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran yang diterima.
Katanya, antara yang boleh dilakukan adalah cuba mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai penjual atau mereka yang menawarkan kerja seperti nama dan alamat syarikat.
“Cuba minta maklumat sebanyak mungkin. Kemudian buat carian di Internet untuk tahu apa barangan dan kerja yang ditawarkan,” katanya.
Jika tawaran yang diterima sangat menarik katanya, tidak perlu terus masukkan wang seperti diminta, sebaliknya sahkan dulu dengan pihak berwajib bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Paling tidak, beri wang pendahuluan dalam jumlah sedikit bagi mengurangkan risiko kerugian sekiranya ditipu,” katanya.
Leave a Reply