SEORANG pegawai dari kumpulan bersenjata Lubnan iaitu Hezbollah yang disokong Iran memaklumkan, mereka tiada maklumat tambahan mengenai serangan tikaman terhadap pengarang dan novelis, Salman Rushdie.
Pegawai yang enggan dikenali itu tidak mahu mengulas sebarang perkembangan mengenai kes berkenaan atas alasan mereka tidak tahu apa-apa, lapor Astro Awani.
Hezbollah disokong oleh Iran yang pemimpin tertinggi sebelumnya, Ayatollah Khomeini, pada 1988 mengeluarkan fatwa menggesa umat Islam untuk membunuh Rushdie kerana menghina Islam terutama Nabi Muhammad SAW.
Sementara itu, Datuk Bandar Yaroun, Ali Tehfe, berkata penyerang yang dikenal pasti oleh polis sebagai Hadi Matar, 24, dari New Jersey, adalah warganegara asal Lubnan.
Keluarga suspek juga berasal dari bandar Yaroun di selatan Lubnan.
Tehfe berkata, ibu bapanya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan Matar dilahirkan serta dibesarkan di sana.
Ketika ditanya sama ada Matar atau ibu bapanya bergabung dengan atau menyokong Hezbollah, Tehfe berkata dia tiada maklumat mengenai pegangan politik ibu bapa atau Matar kerana mereka tinggal di luar negara.
Dalam pada itu, akhbar ultra konservatif Iran, Kayhan memuji suspek yang menyerang Rushdie memandangkan ia adalah sasaran fatwa Iran pada 1989.
Rushdie kini menggunakan ventilator selepas ditikam dalam majlis sastera di New York pada Jumaat selepas lebih 30 tahun bersembunyi.
Pengarang itu, kini berusia 75 tahun, menjadi tumpuan apabila novel keduanya ‘Midnight’s Children’ pada 1981 mendapat pujian antarabangsa dan hadiah Booker berprestij Britain yang menggambarkan India pasca kemerdekaan.
Tetapi bukunya pada 1988, ‘The Satanic Verses’ mengubah hidupnya apabila Khomeini mengeluarkan arahan memerintahkan pembunuhannya.
Pada 1998, kerajaan presiden reformis Iran, Mohammad Khatami, memberi jaminan kepada Britain bahawa Iran tidak akan melaksanakan fatwa itu.
Tetapi, kata pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei pada 2005, beliau masih percaya Rushdie sudah ‘murtad’, sekali gus pembunuhannya dibenarkan oleh Islam.
Leave a Reply