Peninju Thailand maut dalam pertarungan muaythai di Kota Bharu

SEORANG peninju Thailand meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pagi semalam, akibat pendarahan otak yang dialami dalam pertarungan yang disertainya di Kota Bharu, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa, Kittichai Chaengkhao, 28, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diserang lawan ketika menyertai perlawanan Muaythai Ambang Merdeka 2022 di Kampung Che Deris, Badang.

Katanya, mangsa pada mulanya dihantar ke Klinik Kesihatan Badang pada pukul 1 pagi semalam, sebelum dirujuk ke HRPZ II tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 pagi, selepas beberapa jam bertarung nyawa akibat berlaku pendarahan di dalam otak.

“Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Chumpong, Thailand, berlawan dengan seorang peserta dari Kuala Lumpur, tetapi kemudian tewas dan jatuh sebelum tidak sedarkan diri dan dibawa mendapatkan rawatan.

“Sebaik segala urusan siasatan dilakukan, jenazah dibawa pulang untuk diserahkan kepada waris melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Siasatan mendapati insiden ini tidak membabitkan sebarang unsur jenayah sebaliknya kemalangan ketika bersukan selain penganjur pertandingan juga mempunyai permit lengkap,” katanya lapor Berita Harian.

.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *