“SUKAR hendak menerima hakikat, namun ini semua adalah ketentuan Allah SWT yang lebih menyayanginya, jadi kami sekeluarga reda dengan takdir ini,” kata Siti Azlina Mohamad Asri, 46.
Siti Azlina adalah ibu kepada Muhammad Firdaus Ab Raiz, 25, penuntut Universiti Al-Azhar di Mesir, yang meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di sebuah sungai dalam daerah Al-Qanathir Al-Khairiyah.
Beliau berkata, anak sulungnya itu yang juga penuntut Sarjana Muda Syariah, keluar berkelah bersama 10 rakan pada Jumaat lalu, sebelum ditemukan lemas jam 10 pagi waktu Malaysia semalam.
“Sebelum itu, saya menerima panggilan daripada keluarga mentua pada jam 11 pagi kelmarin selepas isteri arwah memberitahu ibunya, yang Muhammad Firdaus lemas ketika berkelah bersama rakan yang turut mengorbankan seorang lagi pelajar dari Pattani, Thailand.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada tahun lalu ketika majlis perkahwinannya. Selepas itu arwah bersama isteri, Siti Hajar Hassan, 22, kembali semula ke Mesir untuk menyambung pengajian mereka di Al-Azhar dan dijangka menamatkan pengajian pada Oktober depan.
“Hati ini masih lagi berasa sayu dengan insiden yang menimpa arwah, namun saya tetap kena reda dengan takdir dan Allah SWT sudah pun menetapkan anak kami meninggal dunia dan perlu menerima kenyataan ini walaupun sukar.
“Bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah, saya dan suami akan berlepas ke Mesir petang ini, namun jenazah akan dikebumikan hari ini.
“Mungkin kami tidak sempat menatap wajah arwah buat kali terakhir tetapi akan menziarahi pusaranya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, Siti Azlina berkata, arwah yang juga anak sulung daripada tujuh beradik itu seorang anak yang baik serta peramah dan sentiasa memaklumkan kepada orang tua jika hendak pergi ke mana-mana.
“Walau bagaimanapun, kali ini arwah tidak memberitahu saya ketika dia mahu pergi berkelah bersama rakan-rakannya sehingga mendapat perkhabaran duka apabila arwah disahkan lemas,” katanya lapor BH Online.
Leave a Reply