DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Perikatan Nasional (PN) pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, 4 Ogos lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata, pada pertemuan itu, PN diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Bendahari PN, Datuk Seri Samsuri Mokhtar.
“Mereka sudah sampaikan pandangan mereka dan saya pun sudah sampaikan pandangan saya. Setakat itu sajalah, jadi BERSATU akan bincang sesama mereka dalam BERSATU.
“Saya sudah beritahu, jadi perkara itu tidak perlu dibangkitkan. Tumpuan kita adalah untuk selesaikan isu rakyat dan pulihkan ekonomi.
“Saya ingat rakyat nak dengar lebih mengenai perkara itu. Biar kita fokus perkara yang menyentuh rakyat, itu lebih penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pavilion Pahang di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Hamzah dilaporkan berkata, PN akan menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian terkandung dalam perjanjian antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.
PN dilaporkan kecewa dengan Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh memenuhi beberapa terma penting terkandung dalam perjanjian itu.
Leave a Reply