SEORANG wanita maut apabila diseret sebuah lori treler sejauh 1.5 meter setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan kenderaan berat itu dalam satu kejadian dekat Tapah Perak pagi ini.
Dalam kejadian di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur kira-kira pukul 7 pagi itu, Shahriza Ishak, 39 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail , pihaknya menerima maklumat kejadian kemalangan di di atas jambatan Sungai Batang Padang itu kira-kira pukul 7.15 pagi.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa treler dan motosikal datang dari arah sama iaitu dari arah Tapah menghala ke Kampar.
“Apabila sampai di tempat kejadian disyaki telah berlaku pergeseran di antara kedua-dua kenderaan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan diseret kira-kira 1.5 meter dari tempatnya terjatuh,” katanya dipetik Astro Awani, hari ini.
Wan Azharuddin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian.
Katanya, pemandu treler telah ditahan dan hasil saringan awal urin mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply