Tag: treler

  • Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah treler rosak, yang diletakkan di tengah jalan di Kilometer 43.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku, ketika kedua-dua mangsa menaiki lori kecil membawa muatan cat dari arah Gua Musang menuju Kota Bharu, pada 6.45 pagi.

    “Kejadian mengakibatkan pemandu lori Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan kelindannya Nik Mohamad Nasrullah bin Mohd Nizam, 26, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan barangan besi itu berhenti di tengah-tengah jalan akibat mengalami kerosakan pada kotak gear,” katanya menerusi sebuah kenyataan di sini.

    Sik berkata jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang, untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu, sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya. – BERNAMA

  • Tiga wanita maut kereta bertembung treler muatan sawit

    Tiga wanita maut kereta bertembung treler muatan sawit

    TIGA wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan treler membawa muatan sawit di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, Rompin malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada 10.51 malam itu menyebabkan semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. 

    Mereka ialah pemandu kereta Suhada Ramli, 22, kakaknya Nazira, 23, yang duduk di bahagian penumpang hadapan serta rakan mereka Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22, dengan semuanya beralamat di Felda Selendang 1, Rompin. 

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki mangsa dari arah Muadzam Shah ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan treler, menyebabkan kereta itu remuk sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

    Mohd Azahari berkata mayat dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA 

  • Pemandu treler terlibat kemalangan di Gerik ditahan

    Pemandu treler terlibat kemalangan di Gerik ditahan

    POLIS telah menahan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tular membabitkan beberapa kenderaan di KM69, Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli), 29 Okt lepas.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata kejadian berlaku pada 11 pagi dan lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada hari sama ketika melalui sekatan jalan raya Batu Melintang di Jeli, Kelantan.

    “Lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kertas siasatan kes itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kemalangan berpunca daripada muatan siling putih yang jatuh daripada sebuah treler semasa melalui selekoh dari arah Gerik ke Jeli lalu menimpa sebuah kenderaan jenis Subaru Forester dan tiga kenderaan lain.

    Menurutnya pemandu Subaru Forester yang berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan, isterinya yang berusia 31 tahun cedera parah dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah, Kelantan manakala mangsa lain hanya cedera ringan.

    Hari ini, tular menerusi laman Twitter @isusemasaviral, rakaman video kemalangan berdurasi 16 saat mengenai kejadian dan perkongsian keadaan isteri mangsa yang hamil anak pertama pasangan itu. – BERNAMA

  • 10 termasuk tujuh murid maut nahas treler, tiga lagi kenderaan

    10 termasuk tujuh murid maut nahas treler, tiga lagi kenderaan

    SERAMAI 10 orang maut termasuk tujuh murid dalam satu nahas jalan raya melibatkan sebuah treler, trak pikap dan dua motosikal, berhampiran kawasan sekolah di Bekasi, Jawa Barat pada Rabu.

    Ketua Pesuruhjaya Trafik Polis Metro Jaya, Latief Usman berkata kejadian pada 11 pagi waktu tempatan itu dipercayai berpunca daripada treler berkenaan yang mengalami masalah brek sebelum merempuh perhentian bas.

    Rempuhan itu turut menyebabkan tiang telekomunikasi tumbang dan menghempap trak pikap. 

    Latief berharap jumlah mangsa yang maut tidak bertambah, menurut laporan media.

    Treler berkenaan turut merempuh ibu bapa dan murid Sekolah Rendah Kota Bekasi yang baru menamatkan sesi persekolahan.  

    Beliau berkata polis akan meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar nahas. – BERNAMA

  • Wanita maut diseret treler, pemandu positif dadah

    Wanita maut diseret treler, pemandu positif dadah

    SEORANG wanita maut apabila diseret sebuah lori treler sejauh 1.5 meter setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan kenderaan berat itu dalam satu kejadian dekat Tapah Perak pagi ini.

    Dalam kejadian di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur kira-kira pukul 7 pagi itu, Shahriza Ishak, 39 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail , pihaknya menerima maklumat kejadian kemalangan di di atas jambatan Sungai Batang Padang itu kira-kira pukul 7.15 pagi.

    “Kemalangan dipercayai berlaku semasa treler dan motosikal datang dari arah sama iaitu dari arah Tapah menghala ke Kampar.

    “Apabila sampai di tempat kejadian disyaki telah berlaku pergeseran di antara kedua-dua kenderaan menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan dan diseret kira-kira 1.5 meter dari tempatnya terjatuh,” katanya dipetik Astro Awani, hari ini.

    Wan Azharuddin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian.

    Katanya, pemandu treler telah ditahan dan hasil saringan awal urin mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 3 maut, 4 cedera kereta bertembung treler

    3 maut, 4 cedera kereta bertembung treler

    TIGA lelaki maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, dekat sini malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada pukul 8.50 malam itu  melibatkan sebuah treler, kereta Proton Iswara dan Perodua Axia.

    “Mangsa yang maut ialah kelindan treler Abdul Raziz Mohdal, 40, dari Segamat, Johor; pemandu Iswara Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan penumpang belakang kereta itu Zairulzaimy Jambi, 18, dengan kedua-duanya beralamat di Pekan, dekat sini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Menurut beliau kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Khairol dari arah Segamat terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler, menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan dan melanggar kereta Axia yang juga dari arah Segamat. 

    “Impak kemalangan menyebabkan treler tersebut jatuh ke cerun di sebelah kanan jalan. Mangsa yang cedera termasuk pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia,” katanya.

    Mohd Azahari berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    Treler 30 tan rempuh rumah, pemandu positif dadah

    SEBUAH treler 30 tan yang sedang membawa muatan besi guna semula dikatakan berhenti secara tiba-tiba sebelum menggelongsor secara mengundur dan merempuh sebuah rumah dalam satu kemalangan di Jalan Peringkat 4, Kampung Felda Sendayan, Seremban malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9.15 malam apabila treler yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu mengalami kerosakan enjin, menyebabkan ia berhenti secara tiba-tiba.

    Beliau berkata, treler yang dalam perjalanan dari Melaka menuju Sungai Pelek, Sepang itu kemudiannya menggelongsor, sebelum bahagian belakangnya tergelincir ke kiri bahu jalan dan merempuh sebuah rumah.

    Nanda dalam kenyataan hari ini berkata, tiada kecederaan dilaporkan, dan ujian saringan awal mendapati pemandu treler itu positif dadah jenis methamphetamine. – BERNAMA

  • Kemalangan treler: 43.1 tan bahan kimia tumpah atas lebuh raya

    Kemalangan treler: 43.1 tan bahan kimia tumpah atas lebuh raya

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa sembilan jam bagi membersihkan tumpahan bahan kimia sisa buangan terjadual seberat 43.1 tan susulan kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 215.6 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah utara di Alor Gajah, hari ini.

    Komander operasi Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan treler yang membawa muatan serbuk kuprum dan aluminium itu pada 2.56 pagi tadi.

    “Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Ayer Keroh termasuk Pasukan HAZMAT digerakkan ke lokasi dan mendapati treler berkenaan terbabas di bahu jalan.

    “Pihak bomba juga mendapati dua lelaki iaitu pemandu treler berusia 29 tahun bersama kelindannya berusia 31 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkhairani berkata, Pasukan HAZMAT telah mengambil bacaan tahap pencemaran di lokasi tersebut dan mendapati keadaan di kawasan itu selamat.

    “Operasi ditangguhkan sementara disebabkan hujan. Kami perlu memastikan bahan tersebut dalam keadaan kering kerana dikhuatiri sisa buangan kimia itu akan memanas dan beracun apabila terkena air. Anggota turut bertindak menutup tumpahan bahan kimia itu dengan menggunakan kanvas kalis air.

    “Operasi disambung semua pada 12 tengah hari tadi bagi memindah dan membersihkan tumpahan bahan kimia sisa buangan itu,” katanya. – BERNAMA