Naib Pengerusi MPN PKR Sabah keluar parti, dakwa kecewa dengan Anwar

KECEWA dengan Presiden parti, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk John Ghani mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar parti.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan pusat sebelum ini.

Malah memburukkan rasa tidak puas hati pemimpin itu ialah tindakan menggantikan Pengerusi MPN PKR Sabah, Datuk Christina Liew dengan Datuk Sangkar Rasam beberapa hari lepas.

“Perkara pertama berkenaan dengan menandatangani MoU Pakatan Harapan. Anwar Ibrahim sendiri sebagai ketua pembangkang buat MoU dengan kerajaan.

“Tidak ada manfaat kepada parti. Tidak ada dalam sejarah, sebuah parti pembangkang yang begitu ditakuti dan digeruni begitu kuat oleh kerajaan menandatangani MoU dengan kerajaan.

“Apabila kita menandatangani MoU dengan kerajaan, maknanya kita sebahagian daripada kerajaan. Apa masalah-masalah melibatkan kerajaan sudah tidak wujud lagi”, katanya menerusi laporan yang dipetik Astro Awani.

John berkata, tindakan Anwar menggantikan Christina Liew dengan Sangkar Rasam sebagai pengerusi baru MPN PKR Sabah di saat PRU-15 semakin hampir merupakan langkah yang kurang tepat selain memecahkan kesatuan parti itu.

“Anwar sendiri tahu masalah PKR Sabah. Kem YB Christina, Raymond dan Sangkar sedang bersaing.

“Kita berharap kedatangan Anwar itu untuk menyelesaikan masalah tapi tidak, dia lepaskan Christina sebagai Pengerusi MPN PKR Sabah, dan lantik Datuk Sangkar sebagai pengerusi baru.

“Untuk menukar pemimpin boleh tapi tidak sesuai pada waktu ini di mana kita mahu menghadapi pilihanraya.

“Sepatutnya dia (Anwar) datang ke sini menyatukan kami semua, bukan memecahkan. Dia memecahkan kami semua”, beliau berkata.

Veteran PKR berusia 72 tahun itu menambah, penggantian Christina kepada Rasam berpotensi menyebabkan PKR kehilangan kerusi parlimen di Tawau dan kerusi DUN Api-Api.

“Ya, seperti yang berlaku di Semenanjung. Ini sepatutnya jadi satu pengajaran tapi saya tidak tahu apa terjadi kepada dia (Anwar)”, tambah John.

John sebelum ini juga pernah memegang jawatan Naib Presiden PKR di dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) selepas posisi itu ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Lajim Ukin.

Berjuang selama 16 tahun bersama PKR, Johm belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik buat masa ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *