KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan ke atas guru yang didapati memuat naik video yang mempunyai kandungan unsur negatif ke laman media sosial seperti TikTok.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon berkata, KPM juga akan memperhalusi lebih lanjut perkara berkenaan demi memelihara nama baik institusi pendidikan negara.
Beliau berkata, perbincangan lanjut di peringkat kementerian juga akan diadakan bagi mengekang masalah berkenaan daripada terus berulang pada masa hadapan.
“Sebagaimana ibu bapa kepada anak mereka, begitu juga dengan guru, apabila tingkah laku mereka itu juga akan menjadi ikutan anak-anak murid, selain daripada ilmu yang disampaikan dalam kelas.
“Jadi pada pandangan saya, sebagai guru yang terlatih ini, mereka harus memahami tugas dan tanggungjawab sebenar mereka apabila bergelar seorang guru.
“Tugas mereka untuk memastikan anak didik mereka menjadi insan yang lebih baik atau disebut kemenjadian murid. Anak murid ini harus berjaya bukan sahaja dari segi akademik semata-mata, malah aspek rohani dan sahsiah juga penting,” katanya yang dipetik Astro Awani.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan pelancaran Bamboo Pavilion, di sini, pada Jumaat.
Beliau mengulas berkenaan tindakan segelintir guru terutama dalam golongan muda yang memuat naik video berunsur negatif seperti berbaur seksual ke laman TikTok, seperti yang tular baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hang Soon turut menasihatkan agar warga pendidik dapat menggunakan media sosial dengan cara berhemah dan seeloknya menjurus kepada kandungan-kandungan berbentuk pendidikan.
“Apa yang kita muat naik ke laman sosial ini akan menjadi tatapan umum. Ada kalanya juga, sesuatu tindakan kita buat itu tidak dijangka akan tular.
“Justeru, saya menasihatkan warga pendidik untuk lebih berhati-hati dan menjadi contoh teladan terbaik kepada anak murid kita.
“Gunakan media sosial ini dengan cara yang elok seperti dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan menunjukkan contoh-contoh terbaik kepada masyarakat,” katanya lagi.
Pada awal bulan ini, sebuah portal media melaporkan seorang pemuda dikatakan guru telah memuat naik video pendek ke media sosial TikTok yang didakwa mempunyai unsur pengantunan seksual atau ‘sexual grooming’.
Terdahulu pada April pula, tular di laman Twitter perkongsian seorang pengguna memaparkan tangkap layar seorang guru yang melakukan sesi video secara langsung di aplikasi sama sambil mengajar di dalam kelas.
Perlakuan itu mengundang pelbagai reaksi negatif khususnya daripada ibu bapa yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kemudian dalam satu kenyataan dilaporkan menasihatkan agar golongan pendidik dapat menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran dan bukan untuk mempopularkan diri.
Leave a Reply