SEORANG pembantu am sekolah mengaku didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas dua pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya sehingga berisiko mendatangkan kecederaan tahun lalu.
Tertuduh, Masanizah Roslan, 40, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin, lapor Harian Metro.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan cuai meninggalkan tiga anaknya berusia 11 tahun, 8 tahun dan 6 tahun tanpa jagaan yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana pada 25 Mei sehingga 23 September 2021.
Bagi pertuduhan kedua tertuduh berdepan dakwaan melakukan kesalahan serupa terhadap ketiga-tiga anak kandungnya itu di tempat sama sama pada 16 Jun sehingga 18 Jun 2021.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau dengan kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari yang menjalankan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang sedang hamil dan tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana mengalami alahan selain bergaji kecil.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 September depan untuk bagi serahan dokumen serta lantikan peguam bela.
Leave a Reply