Hantar komunikasi ajak berhimpun, penganggur didenda RM7,000

SEORANG penganggur didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi berbaur ancaman melalui aplikasi Twitter dengan mengajak satu perhimpunan ketika tempoh pandemik COVID-19, tahun lepas.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nur Taufiq Azhar, 27, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut, turut memerintahkannya dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Lelaki itu membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nur Taufiq didakwa membuat dan memulakan penghantaran “sabtu riot?! TURUN!” yang mengancam sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain melalui akaun Twitter “Tulangkata @ tul4ng” pada 4.44 petang, 13 Julai tahun lepas.

Hantaran itu kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di sini, pada 10.15 pagi, 14 Julai tahun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Muhammad Nur Taufiq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia kini tidak bekerja selain menyesal atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS  berikutan ciapan yang dimuat naiknya bersifat mengancam iaitu satu ajakan untuk perhimpunan sedangkan ketika itu negara masih di dalam tempoh pandemik.

“Ciapan itu telah mendapat ulang ciap sebanyak 1,819 (kali) dan perhimpunan itu kemudian berlangsung pada 17 Julai 2021. Ajakan perhimpunan tersebut seolah-olah memperlekehkan usaha petugas barisan hadapan dalam menjaga kesihatan rakyat ketika itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, lelaki itu ditahan pihak polis di Dataran Merdeka di sini, kerana telah berhimpun bersama 20 individu lain tanpa kebenaran pihak berkuasa dan dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar Peraturan 10, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *