AHLI Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli gagal dalam permohonan untuk membatalkan pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan untuk Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) yang dihadapinya, di Mahkamah Tinggi d
Kuala Lumpur, hari ini.
Perkara itu diputuskamln Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Roz Mawar Rozain selepas mendapati pertuduhan terhadap ahli politik dari Parti Warisan (Warisan) itu adalah sah di sisi undang-undang dan tidak cacat.
Semasa membaca keputusan penghakiman tersebut, beliau berkata, sebelum pertuduhan dikemukakan terhadap Rozman selaku pemohon, pendakwa raya telah melaksanakan ujian undang-undang dan bukti keterangan yang menghasilkan izin untuk mendakwa.
Menurutnya, cerita politik pemohon adalah lain dan berasingan daripada bukti hasil siasatan yang menyebabkan pertuduhan itu.
JC Roz Mawar berkata, pemohon mempunyai peluang untuk mempertahankan kedudukannya jika tidak bersalah.
“Jika motif berunsur politik untuk mendakwa itu satu pembelaan kepada pertuduhan atau ada kena-mengena dengan kredibiliti saksi, pemohon ada peluang untuk menunjukkan sedemikian atau menyangkal kes pendakwaan.
“Pada tahap ini, ia adalah pramatang untuk membatalkan pertuduhan, mahkamah akan memutuskan sama ada pertuduhan berjaya atau gagal dibuktikan setelah mendengar keterangan,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, kuasa yang sedia ada tidaklah seluas yang disangka dan penggunaannya hendaklah dibuat secara bijaksana dalam keadaan yang istimewa.
Susulan keputusan itu, perbicaraan kes yang dijadualkan pada Khamis dan Jumaat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, diteruskan.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dinamakan sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd. Azmi manakala pemohon oleh peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Pada 14 Oktober 2021, Rozman, 58, yang ketika itu merupakan Ketua Whip Warisan, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Ia melibatkan kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara jam 2.30 hingga 5.30 petang, 21 Mac 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 4 April lalu, Rozina menolak permohonan Rozman untuk membatalkan pertuduhan itu.
Berikutan itu, pada 11 Mei, Rozman sekali lagi memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi.
Leave a Reply