PRESIDEN Sri Lanka yang melarikan diri, Gotabaya Rajapaksa, dijangka tiba di Thailand esok bagi mencari perlindungan sementara di negara Asia Tenggara itu.
Ia destinasi ketiga Rajapaksa selepas melarikan diri ke Maldives dan Singapura sejak bulan lalu susulan rusuhan ganas mendesak pengunduran beliau.
Menurut sumber yang dipetik agensi berita Reuters, beliau dijangka meninggalkan Singapura dan tiba di ibu negara Thailand, Bangkok, esok.
Namun Kementerian Luar Sri Lanka enggan mengulas lanjut mengenai maklumat itu, sama seperti jurucakap kerajaan Thailand, Ratchada Thanadirek.
Rajapaksa belum dilihat di khalayak umum sejak meninggalkan Sri Lanka dan kerajaan Singapura mengesahkan beliau tidak diberi sebarang keistimewaan atau imuniti ketika berada di republik itu.
Pada 14 Julai lalu, Rajapaksa menaiki penerbangan dari Maldives ke Singapura berikutan pergolakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, berpunca faripada krisis ekonomi terburuk melanda Sri Lanka dalam tempoh tujuh dekad.
Tekanan ekonomi yang menyelubungi negara kepulauan itu memaksa ribuan rakyat negara itu tunjuk perasaan sehingga bertindak menyerbu kediaman dan pejabat rasmi presiden.
Semalam, ratusan rakyat Sri Landa berhimpun bagi menentang tindakan keras kerajaan dan penggunaan undang-undang darurat terhadap penunjuk perasaan yang berlangsung secara aman.
Ia bagi menuntut jawapan kepada krisis ekonomi terburuk menekan negara itu.
Bekas Perdana Menteri, Ranil Wickremensinghe, dipilih oleh Parlimen untuk melengkapkan penggal lima tahun Presiden disandang Rajapaksa sehingga 2024.
Bagaimanapun, masih ramai yang tidak berpuas hati dengannya dan mengatakan beliau disokong Ahli Parlimen yang kekal setia kepada Rajapaksa bagi melindungi bekas pemerintah itu termasuk keluar daripada bertanggungjawab.
Leave a Reply