Oleh RIZQI ZABIDI
Individu yang gambarnya tular kerana berpakaian mencolok mata sempena penganjuran Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) baru-baru ini bukanlah peserta yang dijemput untuk memperagakan pakaian dalam acara itu.
Sebaliknya menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, beliau difahamkan individu berkenaan merupakan seorang ‘mak nyah’ yang berlakon seperti seorang model, menggayakan pakaian tidak sesuai serta mengambil gambar dan video bagi dimuat naik dalam laman media sosial.
Menurutnya, maklumat tersebut diterimanya hasil pertemuan diadakan bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Pejabat Daerah Kota Setar serta pihak pengurusan pusat membeli belah Aman Central yang menjadi lokasi serta penganjur KFW22.
“Tindakan individu itu dipercayai dibuat secara peribadi selepas pertunjukan fesyen tersebut tamat.
“Sehubungan itu kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya bersandarkan peruntukan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri turut berhasrat untuk mengkaji bagi memperkemaskan peraturan-peraturan kecil berkaitan hiburan dan pertunjukan supaya lebih menepati adat budaya dan tatasusila negeri Kedah.
Leave a Reply