PEMUDA Pas Selangor berharap pucuk pimpinan parti itu memberikan lebih banyak peluang kepada anak muda untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu.

Susulan itu pihak Pemuda Pas Selangor sudah mengusulkan supaya 50 peratus calon muda diletakkan di Selangor.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya bersedia memikul tanggungjawab dan amanah parti sebagai calon-calon yang bertanding.

“Realiti kini, rakyat lebih mudah menerima calon muda dan wajah baru yang dilihat lebih bertenaga dalam melaksanakan tugas wakil rakyat sebagaimana keputusan siri-siri pilihan raya kecil yang terkini.

“Pas adalah parti yang mengangkat anak muda dan bersedia memimpin kebangkitan anak muda untuk membawa perubahan berpandukan Islam dan prinsip keadilan, ” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Semalam, beliau pada Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Selangor ke-56 di Dewan Seri Jugra, Banting mengusulkan cadangan tersebut.

Desakan agar 50 peratus calon Pas di seluruh Selangor di kalangan anak muda turut diusulkan oleh perwakilan daripada Dewan Pemuda Pas Bangi yang kemudiannya disokong sebulat suara oleh 176 perwakilan yang hadir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here