7 sekawan hilang ditemui selamat, rupanya cari labi-labi

MISTERI kehilangan tujuh kanak-kanak dan remaja termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) di Kampung Kebayau dekat Kota Belud Sabah sejak semalam terungkai apabila mereka ditemui selamat, pagi ini.

Kesemua mangsa ditemui penduduk kampung pada pukul 7.40 pagi di sebuah pondok di kawasan kebun pokok getah dan buah-buahan kira-kira 1.5 kilometer dari kampung mereka.

Mereka ialah, Freddy Kerinsuk (OKU), 15; Arni Kerinsuk (OKU), 13; Alistar Kerinsuk (OKU), 9; Royce Kerinsuk, 3; Meclorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5.

Memetik Harian Metro, seorang penduduk kampung, Robert Santim, 50, berkata, dia menemui mangsa bersama dua lagi rakannya, Jolius Sumbing, 41 dan Vincent Sikin, 36.

Menurutnya, remaja dan kanak-kanak itu mendakwa pergi mencari labi-labi di anak sungai yang terletak berhampiran puncak bukit.

“Mereka yang berbekalkan roti dan air tidak menyedari cuaca semakin gelap dan terpaksa menginap di pondok yang berhampiran,” katanya.

Susulan kehilangan tujuh sekawan itu, penduduk yang risau melancarkan usaha mencari yang turut disertai anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud dan unit anjing pengesan (K9).

“Kami (penduduk) risau memikirkan keadaan mereka apatah lagi sebahagiannya autisme dan terus mencari sehingga jeritan kami didengari semua mangsa.

“Syukur, mereka (mangsa) ditemui dalam keadaan selamat walaupun ada yang mengalami luka kecil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, semua mangsa menjalani pemeriksaan rawatan oleh pihak paramedik.

“Dua daripada tujuh mangsa itu dihantar ke hospital Kota Belud akibat luka kecil dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut.”

“Mangsa lain diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing manakala operasi ditamatkan jam 9.30 pagi ini,” katanya.

Mereka kali terakhir dilihat penduduk kampung kira-kira pukul 3 petang semalam,sebelum dilaporkan dikhuatiri hilang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *