Siasatan SPRM berkenaan kes LCS di peringkat akhir

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengumumkan keputusan siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur (LCS) bernilai RM9 bilion, dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, sebelum pegumuman dibuat perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak berkaitan sebelum boleh didedahkan kepada umum.

“Buat masa ini pihak saya masih lagi reserve (menangguhkan) untuk memberi apa-apa kenyataan dan saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman.

“Saya sudah pernah memberi kenyataan sebelum ini (mengenai siasatan)… Saya kena menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes ini kerana bukan sahaja membabitkan SPRM tapi juga Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.

“Sebab itu saya kena pastikan perkara ini diambil kira dahulu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis pertemuan tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Kuala LUmpur, hari ini.

Turut hadir Presiden MCW Jais Abdul Karim.

Ditanya sama ada SPRM sudah menjalankan siasatan kes itu atau sebaliknya, Azam berkata, siasatan sudah bermula sejak beberapa tahun lalu dan berada di peringkat akhir.

“Ada pihak seolah-olah menggambarkan yang siasatan masih dijalankan dan menggesa SPRM untuk menyiasat. Dah banyak kali saya katakan kita sedang menyiasat dan peringkat akhir penyiasatan, jadi peringkat ini saya tak mahu komen dulu,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis.

Antara yang mendesak adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Memetik kenyataan Pengerusi PAC Wong Kah Woh melalui prosiding dijalankan, projek LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus dan upacara penamaan serta pelancarannya seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal itu sudah siap.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *