Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
PARTI Pas sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat meskipun mengharapkan ia diadakan pada akhir penggal memandangkan rakyat kini dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu sentiasa bersiap sedia dari semasa ke semasa bagi berdepan PRU-15 melihat kepada tekanan yang diberikan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.
“Jika ‘gendang’ PRU-15 dipalu dengan segera sekali pun saya yakin Pas tidak ada masalah kerana kita telah bersedia dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang kali ke-42 di Pusat Pengajian Darul Hadis, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Muktamar itu turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff selain beberapa pemimpin daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang.
Menurut Ahmad Fadhli, Pas juga mempunyai alternatif atau pelan B sekiranya UMNO tidak lagi berminat untuk menjalin apa-apa persefahaman dengan parti tersebut khususnya melalui Muafakat Nasional (MN).
Menurut beliau, Pas melihat tidak akan ada sebarang permuafakatan bersama UMNO buat masa ini berdasarkan pendirian terkini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan permuafakatan antara kedua-dua parti itu hanya boleh dilakukan selepas PRU-15.
“Kita masih lagi berusaha untuk menjalinkan persefahaman dan perundingan dengan UMNO, tetapi kita tetap bersedia untuk sebarang situasi terburuk jika tiada sebarang perundingan berlaku.
“Tapi, jika ada, itu lebih baik kerana ia akan memberi lebih tekanan kepada PH (Pakatan Harapan). Bagaimanapun, tidak ada apa-apa persetujuan pun kita tidak ada masalah untuk menghadapi PRU-15,” katanya.
Sementara itu ditanya jangkaan PRU-15 diadakan, Ahmad Fadhli berkata, perkara tersebut bergantung kepada keadaan politik semasa di dalam UMNO.
“Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO sudah pasti akan mengambil kira pandangan partinya terlebih dahulu sebelum membubarkan Parlimen.
“Apabila Perdana Menteri mengumumkan MoU (memorandum persefahaman) kerjasama dengan parti pembangkang tamat pada 31 Julai lalu, itulah yang dikehendaki melalui isyarat yang disampaikan oleh pimpinan UMNO kepadanya termasuk dalam soal pembubaran Parlimen.
“Walaupun itu bukan pandangan bersama PN dan Pas, kita menghormati haknya sebagai Perdana Menteri apabila menjadikan pandangan UMNO sebagai keutamaan,” katanya.
Leave a Reply