4 ADUN Bersatu Pulau Pinang masih boleh jalankan tugas wakil rakyat

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sehingga Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan mengenai saman pemula yang dibuat mereka.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kesemua ADUN berkenaan juga akan menerima faedah dan gaji seperti biasa sehinggga Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan bersabit kes mereka.

“Selagi keputusan tidak dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kesemua ADUN berkenaan masih boleh melaksanakan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembesaran Hospital Pantai di Bayan Lepas hari ini.

Empat ADUN terbabit iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) sebelum ini memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Pada Rabu lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas tergempar diadakan bagi menentukan status kerusi dua bekas ADUN PKR yang dipecat daripada parti itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenainya selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan.

“Sekarang ini adalah penting untuk kita menunggu keputusan Mahkamah Tinggi terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada Kon Yeow berkata, isu pilihan raya kecil (PRK) dalam kes tersebut juga tidak berbangkit kerana di bawah undang-undang, PRK hanya boleh diadakan sekiranya berlaku kekosongan kerusi dalam tempoh lebih dua tahun sebelum pilihan raya umum (PRU).

“Tidak akan ada PRK sekiranya kekosongan kerusi wujud dalam tempoh dua tahun sebelum PRU akan datang. Jika peruntukan ini diguna pakai, maka tidak timbul isu tentang PRK,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *